29/10/2019
PIYA AKHIRI MUSIM DENGAN JULANG PIALA
Kelantan United sah bergelar juara Liga M3 dengan baki satu perlawanan untuk diharungi susulan kemenangan 5-0 ke atas Glory United pada Ahad.
Membicarakan kejayaan mereka, antara watak yang turut memainkan peranan penting adalah tidak lain Badhri Radzi ataupun dikenali sebagai Piya, pemain veteran yang dibawa masuk ketika pertengahan musim.
Kelantan United menyelamatkan karier Piya daripada berkubur, dan dia tidak menghampakan, membalas budi tersebut dengan bukan sahaja menghadiahkan trofi tetapi turut membantu pasukan mencapai sasaran layak ke Liga Premier 2020.
Mungkin pada usianya dia bukan material kesebelasan utama ataupun pilihan automatik di kala Zahasmi Ismail mempunyai banyak pilihan lain untuk dipertaruhkan di barisan tengah, tetapi apabila diperlukan dia melaksanakan tugasnya dengan cukup cemerlang.
Malah pada aksi menentang Glory United itu sendiri, dua jaringan pertama Kelantan United oleh Gassama Al Fusainey berpunca daripada hantaran dilakukan pemain berusia 37 tahun itu.
Menamatkan musim dengan menjulang trofi Liga M3 setelah memulakan 2019 dengan sentuhan kecundang, mengharungi detik hitam dalam karier yang boleh dianggap sebagai tragedi, pastinya memberikan 1001 kepuasan dan sesuatu yang cukup indah untuk Piya.
Bayangkan sahaja, daripada seorang pemain yang memahat nama sebagai kapten paling berjaya dalam arena bolasepak Kelantan malah pernah dinobatkan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia hanya beberapa musim yang lalu, secara tiba-tiba Piya menjadi ‘gelandangan’ bolasepak.
Kemelut antara Piya dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sejak awal 2018, serta pertelingkahan dengan bekas Presiden Bibi Ramjani Ilias Khan berhubung kontrak dan tunggakan gaji lebih RM100,000 pastinya diketahui semua, di mana pada satu tahap Piya tanpa berselindung mengakui dia dilayan seperti sampah.
Ini belum termasuk kisah dia dan ramai lagi pemain-pemain berprofil tinggi seperti Safee Sali, Kyril Muhymeen Zambri, Azmizi Azmi dan Shahril Saari kena ‘scam’ dengan (bekas) Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie pada permulaan 2019.
Di kala perjalanan karier seorang ikon dilihat bakal ternoktah dengan penuh tragis, Kelantan United tampil memberi nafas baru dan Piya membuktikan ketua jurulatih Zahasmi Ismail serta pihak pengurusan sang kijang hijau tidak membuat keputusan yang silap dengan mengambilnya walaupun ada pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan penyokong terutama disebabkan faktor usia.
Tahniah kepada Kelantan United, tahniah kepada Piya, sama ada dia terus kekal menjadi sebahagian daripada anggota skuad Liga Premier 2020 ataupun tidak, ia adalah sebuah kisah kebangkitan yang wajar diteladani dan seharusnya menjadi inspirasi kepada mana-mana untuk terus mengorak langkah tanpa mengenal erti putus asa.
Foto : Kelantan United Football Club