14/12/2019
Pasar Karat Ipoh atau ‘Loken’ merupakan salah satu lokasi yang patut dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang melancong ke Ipoh. Pasar yang diadakan hanya pada setiap hari Ahad ini adalah tumpuan penduduk Ipoh dan memang dinantikan kehadirannya setiap minggu.
Rata-rata yang datang awal ialah pengumpul barangan terpakai. Mereka ini datang seawal 7 pagi, iaitu sewaktu banyak penjual sedang mengeluarkan barang mereka, untuk memastikan yang barangan terbaik tidak terlepas ke tangan orang lain.
Selain dari barangan tersebut, ada pelbagai barangan lain yang diselerakkan di atas jalanraya — dari kelengkapan rumah dan kereta hinggalah ke aksesori telefon dan ubat kuat.
Jika anda pengumpul setem lama, duit lama, barangan tembaga dan pelbagai barangan “collectibles”, jangan lupa datang ke Lok Kin.
Menariknya, di sini terdapat pelbagai barangan lama dan antik serta banyak barang keperluan lain termasuk koleksi duit syiling dan duit kertas lama, seterika arang, buku, cermin mata, kamera antik, keris lama, barangan perhiasan dan bermacam-macam lagi semuanya ada di sini.
Barangan 'bundle' juga banyak termasuk barangan alat ganti untuk motosikal, kereta atau barangan elektrik manakala jangan bimbang, harga yang ditawarkan jauh lebih murah jika pandai tawar menawar.
Apa yang dianggap sesetengah orang sebagai pasar karat mungkin syurga beli belah untuk anda.
Tips Pengunjung
Datang seawal 8 pagi kerana tempat letak kereta terhad dan kerap sesak.