01/08/2024
Faktor-Faktor Kejatuhan Kota Melaka
Oleh: Abdul Aziz Bin Hamzah, 16 Tahun.
Sekolah: Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap.
Melaka merupakan sebuah kerajaan atau empayar Melayu yang agung dan masyhur di setiap catatan dan penulisan Melayu dan bangsa lain sekitar abad ke-15. Kerajaan ini telah mengukir sejarah yang luas dalam tamadun Melayu sejak sekian lama. Kerajaan ini mencakupi beberapa negeri di semenanjung Tanah Melayu dan beberapa bahagian di Pulau Sumatera. Persoalannya, apakah faktor –faktor kejatuhan kota Melaka?
Faktor kejatuhan kota Melaka ialah pengalaman perang Portugis. Sebelum berperang dengan Melaka, Portugis sentiasa berperang sehingga menyebabkan mereka memiliki kepakaran dan kemahiran yang tinggi. Semua ini adalah hasil dari pengalaman tersebut. Portugis mampu menakluki Goa dan mengalahkan pakatan Uthmaniyah-Mamluk-Calicut dengan jumlah tentera yang kecil. Hal ini telah memberikan pengalaman dan keyakinan kepada Portugis untuk melanjutkan ekspedisi mereka.
Selain itu, faktor seterusnya yang ingin saya ketengahkan lagi ialah pengkhianatan dan pembelotan oleh beberapa pedagang asing dan orang luar. Pedagang – pedagang bukan islam dari China dan India telah memberikan bantuan kepada portugis. Contohnya, seorang ceti dari India yang bernama Nina Chatu dan Utimutiraja yang merupakan orang kedua terkaya di Melaka selepas sultan dari segi kewangan dan pemilikan orang suruhan telah membantu dan menyokong Portugis. Beberapa pedagang Cina telah memberikan 2 buah jong kepada Portugis. Pembelotan tentera upahan Jawa juga memberikan kesan kepada moral dan keseimbangan kekuatan angkatan perang Melaka-Portugis.
Seterusnya, faktor ketiga kejatuhan kota Melaka yang lebih utama ialah posisi Portugis sebagai penyerang. Tentera Portugis hanya membawa diri dan peralatan perang. Sedangkan tentera Melaka memiliki keluarga dan harta yang perlu dipertahankan. Ini telah meletakkan Melaka dalam posisi defensif dan Portugis dalam posisi ofensif. Hal ini juga telah menyebabkan terdapat penduduk Melaka yang melarikan diri juga membelot. Keadaan sebegini akan memberi kesan buruk kepada moral dan kekuatan tentera Melaka.
Di samping itu, faktor seterusnya ialah ketokohan dan kepemimpinan Afonso De Albuqueque. Afonso De Albuqueque sememangnya dikenali dengan sikap licik, kepintaran dalam strategi perang serta memiliki kekuatan mental dan emosi yang kukuh lagi kuat. Beliau banyak menghabiskan masanya untuk berperang di laut dan di darat. Beliau juga digelar sebagai ‘Singa Di Lautan’ (Lion of the Seas). Beliau mendapat gelaran tersebut kerana kepintarannya dalam memenangi perang di laut.
Tidak dilupakan juga faktor seterusnya iaitu kurangnya persediaan Melaka untuk berperang. Sewaktu pemerintahan Sultan Mansur Shah pada pertengahan kurun ke-15, Dinasti Ming pernah menghantar utusan peringatan kepada Melaka untuk memperkukuhkan pertahanan bagi menghadapi ancaman Annam di utara tanah besar Asia. Mujurlah ancaman itu tidak merebak hingga ke semenanjung Tanah Melayu. Rekod Dinasti Ming juga menunjukkan Melaka tidak bersedia untuk berperang ketika ketibaan Portugis pada 1511.
Tambahan lagi, faktor selanjutnya ialah penyakit cintakan dunia dan takutkan mati (penyakit al-wahn). Penyakit al-wahn telah merebak dalam kalangan penduduk kota Melaka kerana kekayaan yang melimpah ruah dalam kota Melaka. Ini merupakan faktor utama kejatuhan kota Melaka di tangan Portugis. Penyakit – penyakit lain seperti sombong, zalim, kedekut, angkuh, dendam dan iri hati sesama sendiri serta rasuah muncul daripada penyakit al-wahn. Penyakit cintakan dunia dan takutkan mati ini juga telah menjatuhkan moral dalam kalangan penduduk kota Melaka.
Perbezaan strategi dan taktikal merupakan salah satu faktor dalam kejatuhan kota Melaka. Formasi “pike square” diatur gerak dengan baik sehingga pasukan gajah perang Melaka juga tidak mampu memecahkan formasi mereka. Angkatan perang Alam Melayu tidak pernah lagi berhadapan dengan taktikal perang cara barat seperti itu. Tombak di Alam Melayu merupakan senjata tradisional, namun penggunaan secara taktikal dalam formasi berkumpulan tidak lagi diamalkan dalam mana-mana pertempuran sebagaimana di Eropah dalam apa yang digelar sebagai “pike square”. Formasi ini tidak bertindak secara bersendirian tetapi secara bersepadu dengan diapit oleh kumpulan penembak dan tentera berpedang. Ia telah dipraktikkan di Eropah kerana didapati berkesan dalam banyak peperangan pada penghujung kurun ke-15. Senjata pike digunakan untuk meradak musuh yang cuba menghampiri terutama sekali pasukan berkuda.
Sesungguhnya, kejatuhan kota Melaka bukanlah penutup kepada sejarah tamadun Melayu mahupun permulaan zaman kegelapan Melayu. Namun, kejatuhan kota Melaka telah membuka satu lembaran baharu dalam sejarah tamadun Melayu. Ia juga hadir dengan dua negeri Melayu yang baharu iaitu negeri Perak dan negeri Johor. Orang Melayu semakin berkembang ke serata pelusuk nusantara setelah kejatuhan kota Melaka.
RUJUKAN:
Rahsia Penaklukan Melaka 1511, Tun Suzana Tun Othman Dan Hasanuddin Yusof, Penerbit Alami Sdn Bhd, 2020.
1511 Kejatuhan Empayar Melaka, Rafe Rahmat, Patriot Publishing, 2022.
..
Kami sedang mencari bakat baru penulis muda dalam kalangan pelajar berumur 14 hingga 17 tahun. Mana mana artikel yang terpilih akan diberi imbuhan token saguhati. Sekiranya ada yang berminat, boleh hantarkan kepada e-mel [email protected] berserta maklumat diri.