04/11/2023
Rakyat tiada tabung kecemasan kerana tiap-tiap hari cemas
Kenapa kedai baju ini tutup, mana kedai serbaneka di sini? Kenapa mahal sangat mi segera ini, biskut kering macam ini pun melambung?
Pertanyaan-pertanyaan seperti itu semakin biasa dari hari ke hari. Malah semakin ramai yang bertanya bukan sahaja kalangan B40 dan M40 tetapi berjangkit pada mereka berstatus T20.
Bukan setakat itu sahaja, didakwa belian secara dalam talian juga tidak lagi serancak seperti ketika pandemik Covid-19. Ketika pandemik setiap hari hampir semua rumah ada sahaja barang pesanan terselit atas pagar.
Pekerja e-hailing pelbagai jenama bersidai tepi bangunan pusat beli-belah manakala pemandu kenderaan merugut apabila adakala terpaksa bertolak ansur dengan pekerja ekonomi gig yang seperti menguasai jalan raya bagi mengambil dan menghantar pesanan.
Malangnya, selepas era pandemik kehidupan rakyat semakin merosot. Ketika pandemik ramai antara mereka ‘terselamat’ kerana dibenar mengeluarkan KWSP. Namun kini apa lagi yang ada?
Susulan itu kalangan mereka itu terpaksa menjadualkan semula kehidupan masing-masing agar pendapatan diperoleh seiring dengan kenaikan kos sara hidup sehingga ada yang melabelnya sebagai menggila.
Justeru, soal duit tabung kecemasan bukan topik sesuai untuk dibincangkan ketika ini. Berdasarkan kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour minggu lalu, beliau mendedahkan ramai rakyat tidak mampu menyediakan RM1,000 jika berlaku kecemasan.
Gabenor BNM itu juga kecewa apabila memberitahu satu daripada tiga rakyat langsung tidak berminat untuk ambil tahu mengenai polisi insurans.
Kenyataan tersebut tidak salah malah memang semua orang sepatutnya ada pelan kecemasan selain memiliki polisi insurans demi kesejahteraan jika berlaku perkara di luar jangka.