15/09/2024
Salam Maulidurrasul 12 Rabiul-Awwal Tahun 1446 Hijriyyah
Para ulama khilaf di dalam menentukan tarikh lahir Baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam. Ia berkisar di antara 9, 10 dan 12 Rabiul-Awwal Tahun Gajah. Pendapat yang tepat menurut ahli sejarah dan falak ialah 9 Rabiul-Awwal. Manakala majoriti umat islam menyambutnya pada tanggal 12 Rabiul-Awwal dengan mengikuti pendapat Imam Ibnu Ishaq. Alasannya adalah supaya keluar dari khilaf dan kerana pada tanggal tersebut dapat dipastikan baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam telah lahir. Demikian menurut Syeikh Zahid Al-Kautsari dalam kitab Maqalat Al-Kautsari. Ala' kulli hal yang pasti baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam dilahirkan pada bulan Rabiul-Awwal.
Bulan Rabiul-Awwal juga digelar sebagai bulan Rabiul-Anwar oleh sebahagian ulama. Kerana di dalam bulan ini telah lahir pembawa cahaya hidayah yang menerangi seluruh alam iaitu baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam. Antara hikmah baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam tidak dilahirkan pada bulan-bulan yang masyhur dan terkenal seperti Asyhaarul-Hurum dan lain-lain tetapi pada bulan Rabiul-Awwal yang tidak terkenal adalah sebagai bentuk kemuliaan baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam yang dilahirkan pada bulan yang tersendiri, bukan menumpang kemuliaan yang ada pada bulan yang lain. Ini sekaligus menjadikan bulan Rabiul-Awwal sebagai bulan yang memiliki keistimewaan tersendiri melebihi bulan yang lain.
Hukum menyambut Maulidurrasul adalah mubah dan termasuk dalam bid'ah hasanah menurut kebanyakan para alim ulama seperti Imam Ibnu Hajar, Imam Suyuthi dan lain-lain. Imam Suyuthi berkata dalam kitabnya 'Al-Hawi Lil-Fatawa :
هُوَ مِنَ الْبِدَعِ الْحَسَنَةِ الَّتِيْ يُثَابُ عَلَيْهَا صَاحِبُهَا لِمَا فِيْهِ مِنْ تَعْظِيْمِ قَدْرِ النَّبِيِّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ وَإِظْهَارِ الْفَرَحِ وَالْاِسْتِبْشَارِ بِمَوْلِدِهِ الشَّرِيْفِ
“Perayaan maulid termasuk bid’ah yang baik, pelakunya mendapat pahala. Sebab di dalamnya terdapat sisi mengagungkan derajat Nabi Saw dan menampakan kegembiraan dengan waktu dilahirkannya Rasulullah Saw”.
Imam Suyuthi juga menukilkan dari Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani tentang amalan yang sesuai dilakukan ketika menyambut Maulidurrasul. Di antaranya :
(1) membaca Al-Qur’an,
(2) memberi makan orang,
(3) bersedekah,
(4) mengungkapkan berbagai pujian dan selawat kepada Nabi—seperti dengan membaca Maulid al-Barzanji, Maulid Diba’, Simtuth Durar, Dhiyâul Lami’ dan semisalnya—yang dapat mendorong hati untuk lebih giat melakukan amal kebaikan sebagai bekal di kehidupan akhirat kelak.
Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengganjari pahala yang besar kepada kita semua asbab kecintaan yang terzahir dalam diri kita kepada baginda Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam.