23/08/2024
SEGERA MENUNTUT ILMU DAN TAKUTKAN ALLAH
Antara sifat orang beriman ialah dia perlu segera belajar. Bila tahu ada kelas, jangan tangguh-tangguh.
"Saya nak mula kelas tahun depan."
Jangan.
Apa dalil wajib bersegera menuntut ilmu?
Lihat surah 'Abasa ayat 8. Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
وَأَمَّا مَن جَآءَكَ يَسۡعَىٰ
"Adapun orang yang segera datang kepadamu,"
Allah sebut cara orang ini datang iaitu bersegera. Orang ini ialah Abdullah bin Ummi Maktum yang buta dan fakir.
Dia datang bersegera untuk apa?
Dia datang untuk menuntut ilmu kepada Rasulullah ﷺ. Masa tu Abdullah bin Ummi Maktum tak nampak Rasulullah ﷺ sedang berdakwah kepada pembesar Quraisy sebab dia buta.
Kemudian Nabi ﷺ bermasam muka.
Sepatutnya kesalahan Abdullah bin Ummi Maktum boleh dimaafkan sebab buta. Dia bukan nampak pun.
Tapi kenapa Allah tegur Nabi ﷺ? Kenapa Nabi ﷺ tak patut bermasam muka kepada Abdullah bin Ummi Maktum?
Nabi Muhammad ﷺ bukan bersembang kosong. Nabi ﷺ sedang berdakwah. Yang kedua, Nabi ﷺ target orang bawah pembesar tu. Kalau pembesar beriman, orang bawah dia, ketua-ketua bahagian, JKKK semua akan ikut.
Betul tak target Nabi ﷺ?
Yang Abdullah bin Ummi Maktum, dah lah seorang diri, miskin p**a dan dia memang dah masuk Islam dah. Jadi, Nabi ﷺ macam terganggu. Terganggu bukan sebab maslahat Nabi ﷺ tapi untuk kepentingan dakwah.
Itupun Allah tegur.
Kenapa Allah tegur juga?
Sebab Nabi ﷺ seperti meminggirkan orang yang buta, miskin, yang bersegera untuk menuntut ilmu dan ikhlas nak belajar.
Adapun pembesar Quraisy, itu bukan kali pertama Nabi ﷺ berdakwah kepada mereka. Sudah berkali-kali dan mereka memang degil, rasa serba cukup dan sombong.
Yang Abdullah bin Ummi Maktum p**a, walaupun dia miskin dan buta tapi dia bersegera.
Sifat kedua p**a, Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
وَهُوَ يَخۡشَىٰ
"Dengan perasaan takutnya, -"
Inilah ciri-ciri orang beriman. Yang pertama, segera nak menuntut ilmu. Yang kedua, bila menuntut ilmu mesti ada hasil iaitu takut.
.. إِنَّمَا یَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰۤؤُا۟ۗ ...
Sesungguhnya hanyalah yang takutkan Allah daripada hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu. [Surah Fāṭir: 28]
Jadi, kalau ada ilmu tapi tak takut kepada Allah, ilmu itu sia-sia. Sebab itu Nabi ﷺ ajar kita minta jauh daripada empat musibah/celaka ini setiap hari. Kalau boleh berdoa setiap kali solat lima waktu lagi bagus.
Ada dia empat celaka ini?
Yang pertama,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ،
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat.
Belajar tapi tak buat. Itu musibah.
Yang kedua,
وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ،
dari hati yang tidak khusyuk,
Bila ilmu tak diamalkan, tak berfaedah, kesannya hati tidak khusyuk. Abdullah bin Ummi Maktum ilmunya berfaedah. Kesannya dia takut pada Allah.
Kalau orang tanya, kenapa saya tak khusyuk dalam solat? Jawapannya ilmu dia tak berfaedah.
Yang ketiga,
وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ،
dari nafsu yang tidak pernah merasa puas,
Bila hati tak khusyuk, nafsunya tak pernah puas. Nafsu apa ni?
Nafsu nak makan, nafsu nak main, nafsu nak berjalan, nafsu nak berehat. Tak pernah puas!
Tapi bila nak belajar, sikit-sikit je kan?
Cuba bayangkan kalau orang tu asyik memikirkan nak makan, nak berjalan, nak shopping, solat dia khusyuk tak?
Yang keempat,
وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
dan daripada doa yang tidak diterima.”
Dan bila nafsu tak puas dia membawa kepada doa yang tidak dimakbulkan.
Maka empat musibah ini Nabi ﷺ ajar kita minta berlindung dengan Allah.
Apa tanda solat khusyuk?
Bukan tenang ketika solat sahaja tapi dia menjauhkan diri daripada perbuatan sia-sia.
Cinta dunia, nafsu tak pernah puas, itu tanda solat tak khusyuk. Kalau khusyuk, dia akan jauhkan benda yang tak penting dan sia-sia.
Jadi, orang yang khusyuk dalam perbuatan solat, dia pasti berjaya bawa di luar solat.
Contohnya, dalam solat mulutnya membaca ayat Al-Quran dan zikir. Di luar solat, dia tak cakap benda lagho. Hanya baca Al-Quran, zikir dan cakap benda yang baik.
Dalam solat matanya tengok tempat sujud, yang Allah redha. Di luar solat, matanya hanya tengok benda yang Allah redha.
Dalam solat dia dengar ayat Al-Quran yang imam bacakan. Di luar solat pun dia dengar benda yang Allah redha sahaja.
Itu tanda solat yang khusyuk.
Wallahu a'lam.