12/06/2020
𝐀𝐋-𝐁𝐀𝐘𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐑𝐈 𝟏𝟎: 𝐏𝐄𝐍𝐀𝐍𝐆𝐆𝐔𝐇𝐀𝐍 𝐈𝐁𝐀𝐃𝐀𝐇 𝐇𝐀𝐉𝐈 𝟏𝟒𝟒𝟏𝐇: 𝐒𝐔𝐀𝐓𝐔 𝐏𝐄𝐍𝐂𝐄𝐑𝐀𝐇𝐀𝐍
Pautan ke laman web : https://zulkiflialbakri.com/al-bayan-siri-10-penangguhan-ibadah-haji-1441h-suatu-pencerahan/
𝐌𝐮𝐤𝐚𝐝𝐢𝐦𝐚𝐡
Berdasarkan portal rasmi laporan COVID-19 bagi Kementerian Kesihatan Arab Saudi, sehingga 12 Jun 2020, sejumlah 116,021 kes positif COVID-19 telah dicatatkan di seluruh Arab Saudi dengan jumlah kematian seramai 857 orang. Kes positif COVID-19 di Makkah sahaja berjumlah 41,456, yang pulih seramai 30,554 dan kes aktif seramai 10,289 manakala yang meninggal dunia adalah seramai 613 orang.[1] Berdasarkan perangkaan daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi, kes positif COVID-19 masih menunjukkan peningkatan dari sehari ke sehari.
Pada 26 Mei 2020, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran perintah berkurung kecuali di Makkah di samping mengekalkan larangan umrah. Walau bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, Kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk mengenakan kembali perintah berkurung di Jeddah untuk tempoh 15 hari, bermula 6 Jun 2020 hingga 20 Jun 2020.
Fakta di atas menunjukkan situasi penularan COVID-19 di Arab Saudi masih berada pada paras yang agak membimbangkan. Sehingga kini, masih tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan kebenaran jemaah haji dari negara-negara luar untuk menunaikan haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah. Pun begitu, kita amat optimis bahawa Kerajaan Arab Saudi sedang berusaha gigih dalam membuat keputusan yang terbaik buat negaranya dan seluruh umat Islam, terutamanya dalam mengharungi suasana yang getir ini.
Dengan kedudukan semasa ini, mendorong beberapa negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Kemboja dan Thailand untuk mengumumkan penangguhan penghantaran jemaah haji bagi tahun ini. Ia mungkin dilakukan setelah mempertimbangkan segala sudut terutamanya dari segi kesihatan jemaah haji negara masing-masing.
Dalam situasi ini, sebagai umat Islam amat penting untuk kita bersikap tabayyun iaitu mendapatkan penjelasan dan bersangka baik terhadap segala tindakan yang diambil oleh pihak pemerintah. Kedudukan ibadat haji sebagai rukun Islam yang kelima tidak akan mudah ditangguhkan begitu sahaja kecuali sudah barang tentu dengan alasan dan justifikasi yang benar-benar kukuh.
Justeru, artikel ini akan cuba membahaskan isu tersebut secara ringkas dan padat. Ia berdasarkan keputusan yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mewakili kerajaan Malaysia dengan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai penangguhan pelaksanaan ibadat haji bagi musim haji tahun 1441 Hijrah.
𝐊𝐞𝐰𝐚𝐣𝐢𝐩𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐧𝐮𝐧𝐚𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐁𝐞𝐫𝐝𝐚𝐬𝐚𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐭𝐢𝐭𝐡𝐚’𝐚𝐡 (𝐊𝐞𝐦𝐚𝐦𝐩𝐮𝐚𝐧)
Seseorang yang mukallaf wajib untuk menunaikan ibadah haji sekiranya cukup syarat yang mewajibkan haji. Antara prasyarat terpenting hendaklah mereka itu termasuk dalam golongan yang berkemampuan atau istitha’ah. Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Maksudnya: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. (Surah Ali ‘Imran: 97)
Apa yang dimaksudkan dengan berkemampuan adalah apabila seseorang itu memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, bayaran visa pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah sebagai mana yang dikehendaki pemerintah. Dan kesemua harta itu mestilah lebihan daripada jumlah hutang dan perbelanjaan ahli keluarganya selama mana ketiadaannya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)
𝐉𝐞𝐧𝐢𝐬 𝐊𝐞𝐦𝐚𝐦𝐩𝐮𝐚𝐧
Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung, dan tidak secara langsung.
Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudharatan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.
Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Hal ini adalah kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya.
Dalam perbahasan fiqh, terdapat satu lagi jenis kemampuan iaitu kemampuan dari sudut keselamatan (al-istitha’ah al-amniyyah). Iaitu aman atau selamat dalam perjalanan, walaupun ia bersifat sangkaan kuat (zhann) ke atas nyawa dan hartanya pada setiap tempat yang dilalui dengan keamanan yang munasabah baginya. Ini bermakna, jika ia bimbang ke atas dirinya, isterinya atau hartanya sebarang bahaya daripada haiwan buas, musuh atau perompak jalanan dan tiada jalan lain selainnya, maka haji tidak wajib baginya kerana terdapatnya kemudaratan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/2088) Ini bersandarkan firman Allah SWT:
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛوَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya.” (Surah al-Baqarah, 195)
Menurut Ashab al-Syafi’e, syarat wajib mengerjakan haji itu adalah selamat dalam perjalanan dari tiga aspek iaitu nyawa, harta dan badh’ (yang berkaitan haji wanita dan khuntha). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/80)
Imam al-Haramain mengatakan, aman yang dimaksudkan bukan semestinya ke tahap aman yang bersifat yakin atau aman seperti mana dalam keadaan tidak bermusafir. Akan tetapi aman atau selamat pada setiap tempat itu mengikut yang selayak atau sesuai dengannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/80-81)
Menurut pendapat kedua dalam mazhab, haji tidak diwajibkan jika bimbangkan keselamatan dalam perjalanan (khawf al-tariq). Ini kerana, jika seseorang memerlukan pengawal keselamatan untuk melindungi diri dan hartanya daripada perompak jalanan, maka haji tidak wajib dikerjakan tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/82)
Ini bermakna, jika keselamatan daripada bahaya-bahaya berbentuk fizikal seperti perompak, musuh dan haiwan buas yang boleh menggugat nyawa dan harta benda boleh menjadi sebab haji tidak diwajibkan, apatah lagi bahaya bersifat penyakit yang menjadi pandemik seperti COVID-19. Bahaya tersebut bukan sahaja berkemungkinan wujud ketika dalam perjalanan pergi dan balik, bahkan ia secara pasti sedang menular di tempat yang ingin dituju iaitu Makkah al-Mukarramah.
𝐏𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠𝐠𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐈𝐛𝐚𝐝𝐚𝐭 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐊𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚 𝐊𝐞𝐮𝐳𝐮𝐫𝐚𝐧
Menurut pandangan muktamad dalam Mazhab Syafi’e, ibadah haji termasuk dalam kategori wajib muwassa’ iaitu kewajipan yang mempunyai keluasan waktu untuk mengerjakannya. Dengan maksud, seseorang yang telah memenuhi syarat wajib untuk menunaikan haji, masih lagi tidak diwajibkan secara serta merta untuk menunaikan haji. Imam al-Nawawi menyatakan seperti berikut:
إذَا وُجِدَتْ شُرُوطُ وُجُوبِ الْحَجِّ وجب على التَّرَاخِي عَلَى مَا نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَاتَّفَقَ عَلَيْهِ الْأَصْحَابُ إلَّا الْمُزَنِيَّ فَقَالَ هُوَ عَلَى الْفَوْرِ فَعَلَى الْمَذْهَبِ يَجُوزُ تَأْخِيرُهُ بَعْدَ سَنَةِ الْإِمْكَانِ مَا لَمْ يَخْشَ الْعَضَبَ..
Maksudnya: “Apabila telah mempunyai syarat-syarat wajib haji, wajib ke atasnya secara tidak serta merta (al-tarakhi) sebagaimana yang dinaskan oleh Imam al-Syafi’e dan dipersetujui oleh ashab-nya kecuali al-Muzani yang mengatakan ia wajib secara serta merta. Maka berdasarkan pandangan (muktamad) dalam mazhab, harus menangguhkannya selepas tahun berkemampuan selagi mana dia tidak bimbang kepada halangan..” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/102)
Walau bagaimanapun, dari segi keutamaan, bagi sesiapa yang telah sampai kepada tahun berkemampuan menunaikan haji, disunatkan untuk dia tidak memperlewatkan atau menangguhkannya. Ini bagi memastikan dirinya terlepas daripada bebanan tanggungjawab mengerjakan fardhu haji, keluar daripada khilaf ulama yang mewajibkan secara serta merta dan bersegera dalam mengerjakan ketaatan. Namun jika dia melewatkannya dari tahun berkemampuan, tetapi sempat mengerjakannya sebelum meninggal dunia, maka dia tidak berdosa. Ini berdasarkan keadaan Rasulullah SAW sendiri yang menangguhkan haji ke tahun 10 Hijrah tanpa sebarang halangan. Akan tetapi, penangguhan tersebut mestilah disertai dengan keazaman yang kuat untuk melaksanakannya pada tahun-tahun akan datang. (Lihat al-Hajj wa al-’Umrah, Ahkam Fiqhiyyah Sadirah ‘an al-Mazhab al-Syafi’iy wa Baqiyyah al-Mazahib al-Arba’ah, 10-11)
Ini menunjukkan seseorang yang menangguhkan pemergian hajinya ke tahun yang lain tanpa sebarang halangan, tidak sesekali berdosa jika dia berazam untuk pergi pada tahun-tahun lainnya. Apatah lagi jika ia menangguhkan pemergian hajinya ke tahun lain disebabkan keuzuran yang tidak dapat dielakkan seperti wabak penyakit yang melanda seluruh dunia.
Seorang penyelidik bernama Ibrahim Muhammad melakukan kajian pada Februari 2020 mendapati bahawa pelaksanaan haji pernah ditangguhkan sebanyak 40 kali sepanjang sejarah Islam. Ia berlaku buat pertama kali pada tahun 930 Masihi ketika golongan Syiah Qaramithah mencuri Hajar Aswad. Manakala kali terakhir pada tahun 1987 disebabkan wabak meningitis.
Mantan M***i Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah p**a berpendapat berdasarkan penyelidikannya, musim haji pernah ditangguhkan sebanyak 22 kali. Terdapat beberapa musim yang ditangguhkan sepenuhnya dan sebahagiannya adalah penangguhan separa. Penangguhan separa bermaksud, jemaah haji dari negara tertentu atau dari pihak tertentu tidak pergi menunaikan haji.[2]
Jika ditelusuri, pelbagai sebab yang menjadi punca kepada ibadah haji tidak dapat ditunaikan atau ditunaikan dalam keadaan yang tidak sempurna. Antaranya disebabkan oleh ketidakstabilan politik, peperangan, kekacauan dan wabak penyakit. Disebutkan beberapa peristiwa berikut sebagai contoh[3]:
1) Pada tahun 865 Masihi, haji dibatalkan setelah menyaksikan pembunuhan beramai-ramai di Arafah, ketika Ismail bin Yusuf al-Alawi dan sekutunya menyerang jemaah haji hingga membunuh ramai orang.
2) Pada tahun 930 Masihi, golongan Syiah Qaramithah mencuri Hajar Aswad selama 22 tahun, menyerbu Masjid al-Haram dan menganggap haji sebagai syiar jahiliyyah.
3) Pada tahun 983 Masihi, dikatakan bahawa tidak ada orang dari Iraq yang menunaikan haji kerana krisis politik antara para khalifah Bani Abbas dan khalifah Bani Ubaid.
4) Pada tahun 1213 Hijrah, perjalanan haji dihentikan semasa kempen menentang Perancis, dan pada tahun 1344 Hijrah, berlaku peristiwa Mahmal Misri yang merupakan krisis politik dan agama antara dua negara hingga menyebabkan Mesir menangguhkan penghantaran jemaah haji mereka.
5) Pada tahun 1253 Masihi, orang-orang Baghdad kembali menunaikan haji 10 tahun setelah kematian khalifah Al-Mustansir.
6) Pada tahun 1257 Masihi, tidak ada orang Hijaz yang menunaikan ibadah haji, dan tidak ada panji-panji raja yang dinaikkan di Makkah.
7) Pada tahun 1814 Masihi, kira-kira 8,000 orang meninggal dunia di Hijaz akibat wabak.
8) Pada tahun 1831, wabak India meletus semasa musim haji menyebabkan ramai jemaah haji yang meninggal dunia.
9) Dari tahun 1837 hingga 1840, berlaku penularan wabak penyakit di Hijaz.
10) Dari tahun 1846 hingga 1883, wabak kolera merebak.
11) Pada tahun 1858, wabak meletus yang mendorong orang ramai untuk melarikan diri dari Hijaz, dan mengasingkan diri.
12) Pada tahun 1864, seribu jemaah haji meninggal setiap hari, kerana wabak yang sangat serius.
𝐁𝐞𝐛𝐞𝐫𝐚𝐩𝐚 𝐅𝐚𝐭𝐰𝐚 𝐏𝐚𝐫𝐚 𝐔𝐥𝐚𝐦𝐚
Setiusaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi ketika memberikan fatwa berkenaan penangguhan haji disebabkan wabak penyakit mengatakan:
"ولكن الراجح هو أنه إذا انتشر الوباء قطعاً أو تحقق غلبة الظن ( من خلال الخبراء المختصين) أن الحجاج، أو بعضهم يصيبهم هذا الوباء بسبب الازدحام، فيجوز منع العمرة أو الحج مؤقتاً بمقدار ما تدرأ به المفسدة، وقد اتفق الفقهاء على جواز ترك الحج عند خوف الطريق، بل إن الاستطاعة لن تتحقق إلا مع الأمن والأمان، ولذلك فإن الأمراض الوبائية تعد من الأعذار المبيحة لترك الحج والعمرة بشرط أن يكون الخوف قائماً على غلبة الظن بوجود المرض، أو انتشاره بسبب الحج والعمرة، وأن ذلك يقدره أهل الاختصاص من الأطباء، ويصدر بشأنه قرار من المملكة العربية السعودية بالنسبة للمنع، وفي حالة إبقاء الحج أو العمرة مفتوحاً فحينئذ يعود التقدير إلى الدولة التي ظهر فيها الوباء بمنع حجاجها أو معتمريها من أداء الحج خوفاً من نقل الوباء إلى جموع الحجيج والمعتمرين بناء على تقدير جهات الاختصاص في كل بلد."
“Akan tetapi yang paling tepat adalah bahawa jika wabak itu merebak secara pasti atau terbukti dengan sangkaan yang berat (menerusi pakar-pakar profesional) bahawa jemaah haji, atau sebahagian mereka (boleh) ditimpa wabak ini disebabkan kesesakan, maka dibenarkan untuk melarang ibadah umrah atau haji buat sementara dengan kadar yang boleh mengelak dengannya kemudaratan. Para fuqaha telah bersetuju akan keharusan meninggalkan ibadat haji ketika bimbangkan keselamatan perjalanan, bahkan istitha’ah tidak tercapai kecuali dengan keselamatan dan keamanan. Dengan itu, wabak penyakit termasuk keuzuran yang dibenarkan untuk meninggalkan haji dan umrah dengan syarat bahawa kebimbangan tersebut berdasarkan sangkaan kuat akan wujudnya penyakit, atau penyebarannya kerana haji dan umrah. Demikian itu dinilai oleh para pakar daripada kalangan doktor dan laporannya dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk melarang. Dalam kes dikekalkan pelaksanaan haji dan umrah tanpa larangan, ketika itu terp**ang kepada negara yang tersebar padanya wabak untuk melarang jemaah haji atau umrahnya melaksanakan ibadah haji. Kerana ditakuti ia akan memindahkan wabak kepada perhimpunan jemaah haji dan umrah berdasarkan penilaian golongan pakar di setiap negara.”[4]
M***i Kerajaan Mesir, Syeikh Dr. Shawqi ‘Allam ketika menjawab persoalan mengenai kemungkinan haji dan umrah ditangguhkan mengatakan, ia menepati Maqasid Syariah. Kemungkinan sebahagian orang akan merasa dukacita dengan hal tersebut, namun orang yang uzur diberi pahala atas keuzurannya. Malah di sana terdapat banyak cara untuk disalurkan kewangan yang disediakan untuk haji dan umrah tersebut untuk meraih pahala seperti memperuntukkannya untuk barisan hadapan (COVID-19) yang bekerja setiap hari.[5]
𝐓𝐚𝐧𝐠𝐠𝐮𝐧𝐠𝐣𝐚𝐰𝐚𝐛 𝐏𝐞𝐦𝐞𝐫𝐢𝐧𝐭𝐚𝐡
Dalam perbahasan fuqaha mengenai istitha’ah, Wahbah al-Zuhaili membawakan pandangan Mazhab Hanafi yang meletakkan antara syarat kemampuan atau istitha’ah dari sudut fizikal adalah tiada larangan daripada pemerintah yang zalim untuk keluar menunaikan haji. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/415)
Jika difahami kenyataan di atas secara qiyas al-awla, maka perintah larangan yang dikeluarkan oleh pemerintah yang adil adalah lebih utama untuk ditaati. Pemerintah yang adil sudah pasti tidak akan mengeluarkan larangan mengerjakan ibadat kecuali dengan alasan-alasan yang kukuh dan disokong oleh syarak berasaskan prinsip-prinsip Siyasah Syar’iyyah.
Syeikh Abdul Wahhab Khallaf membawakan beberapa tafsiran berkenaan Siyasah Syar’iyyah, antaranya ialah:
a) Pemberian kuasa kepada pemerintah untuk bertindak menurut maslahah, selagi mana tidak menyanggahi usul agama, meskipun tiada dalil khusus berkenaannya.
b) Pelaksanaan maslahah mursalah; ini kerana maslahah mursalah merupakan bab yang tiada dalil syar’ie yang menghukumnya sebagai mu’tabar (diambil kira) atau yang tertolak (mulghah).
Berdasarkan pandangan para ulama ini, beliau membuat kesimp**an bahawa ilmu Siyasah Syar’iyyah bermaksud suatu ilmu yang membahaskan urusan-urusan pentadbiran sebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam, meskipun tiada nas syarak yang menyatakannnya secara spesifik. (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah, 6-7)
Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada ijtihad dan kebijaksaan pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.
𝐊𝐞𝐩𝐮𝐭𝐮𝐬𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐞𝐫𝐢𝐧𝐭𝐚𝐡 𝐁𝐞𝐫𝐚𝐬𝐚𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐌𝐚𝐬𝐥𝐚𝐡𝐚𝐡 𝐔𝐦𝐮𝐦
Dalam memutuskan sesuatu keputusan, pemerintah sentiasa akan mengambil kira kemaslahatan umum rakyat. Kaedah menyebut:
تصرف الإمام على رعيته منوط بالمصلحة
Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.
Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya; iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut Syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)
Melihat kepada kaedah yang kritikal ini, tindakan drastik yang diambil pihak kerajaan bagi menyekat sesetengah perkara adalah bersandarkan kepada maslahah dan kepentingan umum agar dapat mengurangkan risiko penyebaran wabak daripada bertambah lebih teruk.
𝐏𝐞𝐫𝐮𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐇𝐮𝐤𝐮𝐦 𝐇𝐚𝐫𝐮𝐬
Imam al-Zarkasyi Rhm (wafat 794H) mengatakan bahawa hukum harus boleh berubah mengikut kepada situasi tertentu. Kadangkala berubah menjadi wajib jika meninggalkan perkara tersebut akan memberi kemudaratan. Kadangkala menjadi haram sekiranya melakukan perkara tersebut menyebabkan tidak melakukan kewajipan lain yang ditetapkan Syarak, dan begitu juga boleh berubah kepada hukum-hukum taklifi yang lain seperti sunat dan makruh. (Lihat: al-Bahru al-Muhith, 1/365)
Dari segi asalnya, hukum menunaikan haji buat kali pertama adalah fardhu ain bagi setiap orang yang telah memenuhi segala prasyarat sama ada dari sudut syarak mahupun peraturan yang ditetapkan. Walaupun begitu, haji kekal sebagai wajib muwassa’ yang harus ditangguhkan dari tahun ia berkemampuan. Namun demikian, apabila berlaku situasi yang tidak mengizinkan seperti penularan wabak penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan, ditambah p**a dengan larangan pihak pemerintah bagi menjamin kemaslahatan nyawa, maka ia bertukar daripada harus kepada wajib ditangguhkan.
𝐁𝐞𝐫𝐚𝐝𝐚 𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐒𝐢𝐭𝐮𝐚𝐬𝐢 𝐃𝐚𝐫𝐮𝐫𝐚𝐭
Wahbah al-Zuhayli mengatakan perbahasan berkenaan darurat ialah konsep yang implikasinya mengharuskan apa yang diharamkan oleh syarak atau keharusan meninggalkan kewajipan. Justeru beliau berpendapat, darurat itu adalah suatu keadaan bahaya atau kesukaran bersangatan yang menimpa manusia sehingga bimbang ia akan menyebabkan kemudaratan kepada nyawa atau anggota atau maruah atau akal atau harta dan yang berkaitan dengannya. Ketika itu diharuskan ia mengambil yang haram atau meninggalkan kewajipan atau melewatkannya daripada waktunya bagi mengelakkan kemudaratan berdasarkan sangkaan kuatnya menurut garis panduan syarak. (Lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, 68)
Beliau seterusnya mengemukakan sekurang-kurangnya terdapat tujuh perkara di bawah garis panduan darurat. Paling utama, darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan sangkaan, sangkaan itu hendaklah sangkaan yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian. (Lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, 69-72)
Kedah fiqh menyebutkan, (المتوقع كالواقع) “perkara yang dijangka berlaku itu, seperti ia benar-benar berlaku.”
Dalam isu penangguhan haji disebabkan oleh penularan COVID-19, jika pihak yang berkepakaran iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan pandangan akan realiti dan risiko yang bakal dihadapi sekiranya jemaah haji Malaysia tetap menunaikan haji, maka ia boleh menjadi penilaian kukuh dalam menentukan ukuran darurat yang sebenar.
Terdapat beberapa kaedah yang disebutkan oleh fuqaha dalam berinteraksi dengan situasi darurat atau perkara yang boleh membawa kepada kemudaratan. Antaranya seperti berikut:
Pertama: Kaedah fiqh yang masyhur:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار
Maksudnya: “Janganlah memudaratkan diri sendiri dan memberi kemudaratan kepada orang lain.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh al-Suyuti, 173-181)
Kedua: Apabila berlaku kemudaratan, maka wajib dihilangkan kemudaratan tersebut. Ini berdasarkan kaedah:
الضَّرَر يُزَال
Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Rujuk al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, 258)
Ketiga: Kemudaratan dihindari daripada berlaku dengan semampu mungkin. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
الضَّرَر يُدْفَعُ بِقَدَرِ الإِمْكَان
Maksudnya: “Kemudharatan itu dihindari mengikut kadar kemampuan.” (Rujuk al-Wajiz fi Idhah Qawa’id al-Fiqh al-Kulliyyah, 258)
Dalam menangani wabak COVID-19, penangguhan haji adalah menepati kaedah-kaedah di atas bagi membendung wabak tersebut semakin tersebar sama ada dalam kalangan jemaah haji tempatan mahupun negara lain. Kaedah tersebut sebagaimana kaedah yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang masyhur:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.”
Riwayat al-Bukhari (5728)
Hadis ini menunjukkan pemerintah boleh mengambil tindakan kuarantin atau sebarang sekatan agar penyakit atau wabak tidak tersebar. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA pernah menyebutkan hadis ini kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar hadith ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5)
Keempat: Kaedah fiqh al-awliyyat:
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Maksudnya: “Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.”
Apabila berlaku pertembungan antara memperoleh kebaikan dan menolak kemudaratan, maka perlu diutamakan menolak kemudaratan. Dalam isu penularan wabak COVID-19 pada musim haji tahun ini, maka perlu didahulukan menolak kemudaratan iaitu dengan menangguhkan pemergian haji. Hal ini disebabkan kemudaratan yang ada bersifat pasti atau sangkaan kuat iaitu boleh menggugat nyawa. Sedangkan kebaikan yang ingin diperoleh iaitu menunaikan haji masih boleh dikompromi kerana ia merupakan wajib muwassa’ yang harus ditangguhkan lebih-lebih lagi dalam keadaan darurat.
Kelima: Memelihara Maqasid Syariah menjaga nyawa
Al-Daruriyyat al-khamsah dalam Maqasid Syariah iaitu keperluan yang manusia bergantung kepadanya sama ada dari sudut kehidupan beragama atau keduniaan. Jika ia tiada maka akan berlaku kepincangan hidup manusia di dunia dan azab seksa di akhirat. (Lihat Ta’lil al-Ahkam, 282) Al-Daruriyyat yang asasi ini merangkumi lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Ia melibatkan kelangsungan hidup manusia. (Lihat al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul, 217)
Menjaga nyawa merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Contohnya, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi memelihara nyawa. Hukuman qisas, diyat atau kaffarah dikenakan bagi mereka yang telah melakukan pembunuhan terhadap manusia lain sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Dalam isu penangguhan mengerjakan ibadat haji, ia dilakukan bagi menyelamatkan rakyat daripada risiko terkena penyakit COVID-19 yang boleh menyebabkan kematian kerana masih tidak mempunyai vaksin. Ia sesekali tidak membelakangkan prinsip pertama iaitu memelihara agama. Ini kerana, pelaksanaan ibadah haji hanya diwajibkan dalam keadaan memiliki istitha’ah atau kemampuan. Dalam keadaan seseorang tidak mampu melindungi keselamatan dirinya daripada penyakit tersebut, maka ia tidak lagi termasuk dalam kategori golongan yang berkemampuan. Apatah lagi apabila ia telah diperakui oleh pihak berautoriti seperti kerajaan.
𝐊𝐞𝐬𝐢𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧
Menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat 11 Jun 2020, jumlah keseluruhan positif COVID-19 di seluruh dunia yang dicatatkan adalah 7,273,958 kes, manakala jumlah kematian yang direkodkan adalah sebanyak 413,372 kes.
Angka-angka di atas menunjukkan bahawa dunia terus bergelut dalam perang melawan COVID-19. Tambahan lagi vaksin bagi merawat pandemik ini masih belum ditemui oleh pakar-pakar perubatan sehingga kini. Bak kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, vaksin paling mujarab buat masa ini adalah “penjarakan sosial” dan mengamalkan kelaziman baharu.
Ini juga hakikat yang terpaksa diterima oleh umat Islam pada hari ini apabila kerajaan dengan penuh berat hati terpaksa mengumumkan penangguhan pelaksanaan haji bagi musim haji 1441 Hijrah. Semua ini diputuskan setelah mendengar pandangan daripada KKM selaku golongan pakar yang menilai dari sudut implikasi kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu institusi yang menyelaras semua tindakan dalam menangani COVID-19 termasuk kawalan sempadan, Lembaga Tabung Haji (LTH) sebagai institusi yang menguruskan pelaksanaan haji dan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kebangsaan Malaysia selaku pakar agama dalam mengeluarkan hukum secara ijtihad jama’ie.
Justeru, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI Kali Ke-6 yang bersidang pada 9 Jun 2020 melalui Sidang Video di Kompleks Islam Putrajaya, telah mengambil ketetapan bahawa pelaksanaan ibadah haji pada tahun 1441 Hijrah/ 2020 Masihi ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19. Walau bagaimanapun Jemaah haji yang telah ditawarkan pada 1441 Hijrah/ 2020 Masihi akan diberi keutamaan dalam penggiliran pada tahun 1442 Hijrah/ 2021 Masihi.
Muzakarah berpandangan penangguhan ibadah tersebut berdasarkan hujah-hujah berikut:
(i) Istitha’ah (االستطاعة (melibatkan kemampuan menunaikan ibadah haji dari beberapa aspek iaitu kesihatan, kewangan, keselamatan bakal haji dan keizinan melakukan perjalanan ke Arab Saudi. Tanpa persediaan yang cukup untuk memenuhi kemampuan-kemampuan tersebut, syarat istitha'ah tidak dapat dicapai bagi menyempurnakan ibadah haji.
(ii) Kefardhuan ibadah haji dikategorikan sebagai kewajipan yang luas waktu pelaksanaannya (الموسع الواجب). Ia harus ditangguhkan apabila syarat wajib tidak sempurna pada tahun tersebut.
(iii) Keputusan ini turut selaras dengan kaedah-kaedah fiqh;
الضرر يزال
Maksudnya: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Maksudnya: “Menolak perkara yang membawa kepada kerosakan (mafsadah) lebih utama dari mendapatkan kebaikan (maslahah).”
المصلحة العامة تقدم على المصلحة الخاصة
Maksudnya: “Maslahah umum didahulukan ke atas maslahah khas.”
الضرر يدفع بقدر الإمكان
Maksudnya: “Kemudaratan perlu ditolak semampu mungkin.”
تصرف االمام على الرعية منوط بالمصلحة
Maksudnya: “Keputusan pemerintah ke atas rakyat adalah berasaskan maslahah.”
Akhirnya, kita berdoa semoga Allah SWT segera mengangkat wabak COVID-19 daripada terus menjangkiti umat manusia. Semoga dua kota suci umat Islam Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah sentiasa dipelihara Allah SWT dan akhirnya umat Islam akan dapat kembali menunaikan haji dan umrah dalam keadaan aman dan selamat pada tahun-tahun mendatang.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri
Nota Hujung:
[1] https://covid19.moh.gov.sa/en/. Dilayari pada 12 Jun 2020.
[2] https://www.atheer.om/archives/521759/. Dilayari pada 11 Jun 2020.
[3] https://www.ammonnews.net/index.php?page=article&id=520651. Dilayari pada 11 Jun 2020.
[4] http://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=11019. Dilayari pada 11 Jun 2020.
[5] http://gate.ahram.org.eg/News/2400685.aspx. Dilayari pada 11 Jun 2020.