03/09/2020
PERSIAPAN ROHANI SEBELUM BERANGKAT MENGERJAKAN IBADAH UMRAH BUAT BAKAL TETAMU ALLAH
Dengan rendah hati, kami ingin kongsikan persediaan-persediaan rohani untuk bakal-bakal tetamu Allah yang mungkin seperti kami juga, yang masih merasakan diri dan jiwa masih jauh dari Allah dan Rasulullah SAW, beberapa bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Apa yang kami ingin kongsikan ini adalah daripada tips-tips yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang telah menjadi tetamu di Baitullah. InsyaAllah. Semoga bermanfaat untuk diri saya dan sahabat semua.
1. Perbaiki kualiti solat & Mencintai Masjid
Mulai dengan jaga solat 5 waktu dan kerap hadir ke masjid. Latih diri solat awal waktu, berjemaah dengan hadir ke masjid atau surau. Boleh berlatih dengan mulakan dengan berjemaah Maghrib dan Isyak dahulu (balik kerja) kemudian upgrade kepada Zohor dan Asar berjemaah (jika ada peluang) serta Subuh berjemaah (ini yang paling mencabar).
2. Biasakan solat-solat sunat & Berdoa
Mulakan berlatih perbanyakkan solat-solat sunat Qobliyah dan Baa’diyah.
Juga biasakan solat Taubat, Dhuha, solat hajat dan solat Tahajjud jika mampu. Juga biasakan diri banyak berdoa dengan yakin di antara azan dan iqamah serta selepas solat.
Apabila kita berada di Madinah dan Mekah nanti, perkara utama dan yang paling banyak untuk kita lakukan ialah berulang-alik ke masjid untuk solat 5 waktu. Di sanalah nanti peluang untuk kita merebut ganjaran pahala 1,000 kali ganda solat di Masjidil Nabawi dan 100,000 kali ganda di Masjidil Haram.
Apabila sudah biasa dengan amalan solat awal waktu dan solat-solat sunat, insyaAllah, ia menjadi perkara yang paling dekat dan paling dicintai di hati kita untuk bangun awal sebelum Subuh, dan diikuti datang awal ke Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram setiap kali masuk waktu solat dan melakukan solat-solat sunat serta berdoa mohon kebaikan daripada Allah.
3. Belajar Bersabar dan Redha
Mulakan berlatih bersabar dan redha dengan setiap apa yang berlaku dalam aktiviti harian kita. Didik hati bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah, merupakan ujian dari Allah dan Rasulullah SAW pun menyuruh kita menjadi orang yang sabar dan menahan kemarahan.
Apabila hati dah mula biasa bersabar, insyaAllah, bila sampai di Tanah Suci nanti, segala macam dugaan seperti kelewatan imigresen, masalah hotel, masalah makanan, masalah bas atau sikap-sikap jemaah lain serta kerenah pasangan pun dapat kita hadapi dengan baik.
4. Belajar Jaga Tutur Kata
Mulakan latih diri bercakap perkara yang baik-baik sahaja sama ada dalam perbualan atau media sosial. Elakkan bercakap hal-hal buruk, hal orang lain atau bergurau menyebut seolah-olah akan jadi perkara tidak elok seperti “Jauh berjalan macam ni, boleh patah kaki...!”
Setiap tutur kita adalah doa. Dan di Tanah Haram, insyaAllah... akan dimakbulkan segera apa yang kita tuturkan atau detikkan dalam hati sama ada yang baik atau yang buruk.
Apabila sudah biasa mendidik lidah kita, insyaAllah, hanya perkataaan-perkataan baik sahaja yang akan keluar dalam bicara kita di sana.
5. Belajar Berbaik Sangka
Didik hati untuk berbaik sangka dengan orang lain terutamanya dengan orang minta derma, minta sedekah atau mohon bantuan.
Di Tanah Haram nanti kita akan bertemu dengan macam-macam peminta sedekah. Bila hati sudah dididik berbaik sangka, jika kita menolak untuk tidak memberi sedekah pun, kita akan tolak dengan baik dan dengan senyuman.
6. Banyakkan Membaca Sirah Nabi dan Bersalawat
Timbulkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan banyak membaca sirah-sirah nabi, kisah-kisah pengorbanan nabi berdakwah menyebarkan agama Islam.
Di Masjidil Nabawi nanti, itulah peluang terbaik kita untuk berziarah makam Rasulullah SAW setiap hari selepas solat dan memberi salam kepada baginda Rasulullah SAW.
Apabila hati sudah ditanam dengan kecintaan yang tinggi kepada baginda, insyaAllah...akan menitis air mata bila berziarah ke makam baginda.
7. Rendahkan hati, rasa diri banyak dosa
Kedatangan kita ke Baitullah adalah atas jemputan Allah. Kita ini hamba yang banyak berdosa. Namun, atas kasih sayang Allah, kita masih dijemputnya untuk ke sana.
Inilah peluang terbaik kita bertawaf depan Kaabah, solat taubat, solat sunat dan mohon keampunan kepada Allah, banyakkan berdoa, membersihkan diri untuk menjadi hamba-Nya dan umat nabi Muhammad yang lebih baik.
Semoga persiapan rohani kita dari awal sebelum berangkat ke Tanah Suci akan menjadikan kita benar-benar hamba-Nya yang berserah sepenuhnya kepada Allah sepanjang berada di Tanah Suci.
Tiada lain yang kita harapkan, hanyalah umrah yang mabrur serta dapat kita istiqamah dalam perkara ibadah-ibadah dan akhlak baik kita apabila kembali ke tanah air, insyaAllah...
Dan kepada sahabat-sahabat yang masih belum berpeluang ke sana, lakukanlah juga persiapan rohani seperti di atas. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, amalan dan istiqamah kita boleh menjadi asbab untuk kita dijemput ke Baitullah.
Sesungguhnya Allah itu maha kaya , Dia boleh jemput kita dengan pelbagai cara dan jalan yang tidak disangka-sangka. In shaa Allah...
“Allah tidak memanggil orang-orang yang mampu, tapi Allah memampukan orang-orang yang terpanggil”