07/07/2024
Adakah wajib bagi seseorang waris itu mengerjakan badal haji bagi orang tuanya yang telah meninggal dunia? Bagaimana sekiranya si mati merupakan orang yang tidak berkemampuan?
Menurut mazhab Syafie, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji, namun dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya, maka ahli warisnya wajib mengerjakan badal haji bagi pihaknya dengan menggunakan harta peninggalan si mati. Ini kerana ia merupakan beban hutang buat si mati. Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta atau harta si mati tidak mencukupi, maka tidak wajib untuknya mengerjakan haji bagi pihak si mati, sebaliknya ia menjadi perkara yang sunat untuk dikerjakan oleh ahli warisnya ataupun orang asing yang lain bagi pihaknya.
Maka dalam hal ini, ada dinukilkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, di bawah tajuk sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mengerjakan kewajipan haji. Pengarang menyebut:
إذا وجب على الإنسان الحج أو العمرة، ولكنه تراخى عن أدائها فلم يؤدهما حتى مات، مات عاصياً، ووجب تكليف من يحج عنه أو يعتمر، وتدفع النفقة من رأس مال المتوفى، وتعد هذه من الديون، فلا تقسم التركة إلا بعد أداء الديون.
Maksudnya: Sekiranya telah diwajibkan haji atau umrah ke atas seseorang, tetapi dia menangguhkannya atau melengah-lengahkannya, dan tidak mengerjakan kedua-duanya sehinggalah dia meninggal dunia, maka dia meninggal dalam keadaan berdosa, maka diwajibkan agar ditentukan seseorang bagi mengerjakan haji atau umrah bagi pihaknya, dengan tanggungan harta si mati, dan kewajipan ini dikira sebagai hutang. Oleh yang demikian, harta peninggalan si mati tidak boleh dibahagikan dan difaraidkan melainkan selepas selesai melunaskan hutang-hutang tersebut.
Ini berdasarkan kepada hadith daripada Ibn Abbas R.A, seorang perempuan daripada Bani Juhainah datang bertemu Rasulullah SAW, lalu berkata:
إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ أَفَأَحُجَّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَتَهُ؟ قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ: اَقْضُوا دَينَ اللهِ، الَّذِي لَهُ، فَإِنَّ اللَّهَ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ
Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk mengerjakan haji. Adakah aku perlu mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah sekiranya ibumu berhutang, kamu akan menyelesaikannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Tunaikanlah hutang Allah kerana hutang Allah lebih berhak ditunaikan.”
Riwayat al-Bukhari (7315)