24/04/2017
Thank You JKKN Sarawak.
MATHEW KONGSI PENGALAMAN BERSAMA GENG SENI!
Program Apresiasi Seni Membuka Peluang Kepada Sukarelawan Budaya Negeri Sarawak Mengenali Muzik Sape.
BAU, 22 April(Sabtu) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN), Sarawak menghargai jasa dan sumbangan Mathew Ngau Jau melalui program Apresiasi Seni yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada beliau melalui sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanah air.
Penerima Tokoh Anugerah Seni Dan Budaya Negeri Sarawak 2016 sempat berkongsi pengalaman bersama GENG SENI yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, komuniti setempat dan masyarakat melalui pengisian program seperti bengkel sape, bicara tokoh dan manifestasi hasil karya tokoh. Seramai 92 orang ahli Sukarelawan Budaya terlibat dengan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan Inap Desa Lan E Tuyang, diawal program ini diadakan.
Program yang bertujuan mendekati tokoh seni ini dapat menggalakkan penghasilan karya atau produk seni yang berdaya saing dan bermutu tinggi melalui tunjuk ajar oleh Mathew sendiri. JKKN Sarawak berharap program seperti ini dapat memperkenalkan Mathew sebagai tokoh seni yang disegani dan turut membuka peluang kepada GENG SENI untuk menimba ilmu terutama dalam seni permainan alat muzik sape.
Sebelum itu, program βApresiasi Seni Sarawakβ dilancarkan oleh YB Datoβ Henry Harry Jinep yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 2 Tasik Biru, di sini.
Datoβ Henry sempat berpesan kepada peserta-peserta bengkel agar memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperolehi ketika bersama Mathew Ngau dan seterusnya mengikut jejak beliau mengharumkan nama negeri Sarawak.
βCabaran besar untuk menentukan kejayaan perkembangan seni tanah air memerlukan individu yang memperlihatkan ketokohan dalam bidang tersebut. Kemunculan tokoh atau penggiat seni yang mempunyai idea-idea yang kreatif dan inovatif yang menampilkan kelainan yang cukup signifikan akan sentiasa berada di barisan hadapan dan disanjungi oleh semua pihak pihakβ, tambah beliau.
Datoβ Henry turut berharap agar penganjuran program seperti ini dapat menggalakkan penggiat-penggiat seni budaya di negeri ini lebih aktif dan produktif dalam menghasilkan sesuatu karya seni agar dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang. Usaha seperti ini akan membawa kecemerlangan kepada pembangunan dan perkembangan seni budaya tanah air khususnya di negeri Sarawak.
Bersesuaian dengan slogan baharu JKKN Sarawak βSeni Untuk Semuaβ atau βArts For Allβ , program seperti ini dapat menyumbang ke arah pembangunan seni dan pelancongan budaya di negeri ini.
Menurut Abdul Mutalib Abdul Rahman, Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak , program Apresiasi Tokoh Seni ini selari dengan inisiatif kerajaan untuk membina industri kreatif negara yang kukuh dan menyumbang kepada pendapatan industri pelancongan budaya secara berterusan.
βKeindahan seni yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil sumbangan dan berkat kegigihan serta pengorbanan penggiat seni dalam bidang seni. Bagi penghasilan karya seni yang bermutu tinggi tidak akan tercapai tanpa peranan besar yang dimainkan oleh penggiat-penggiat seni tanah air itu sendiri. Karya seni yang terbaik tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen dan dedikasi oleh penggiat seni. Segala cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh mereka dari dahulu hingga kini wajar diberi pengiktirafan kerana ia merupakan penentu kejayaan perkembangan seni tanah airβ, tambah Mutalib ketika ditemui di sini.
Ketika majlis pelancaran, YB Datoβ Henry Harry Jinep turut menyempurnakan papan tanda baru Inap Desa Lan E Tuyang dan menyampaikan sijil penyertaan kepada ahli-ahli baru Sukarelawan Budaya Negeri Sarawak yang turut menjayakan program khidmat masyarakat ini. Majlis ringkas tetapi cukup bermakna ini disertai oleh tetamu-tetamu jemputan yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat, penduduk kampung, pelancong luar negara dan ahli sukarelawan Budaya negeri Sarawak. Majlis disajikan dengan persembahan kesenian oleh kumpulan Arts Adau yang turut disertai artis dari negara Korea, Perancis dan Australia, kumpulan Kesenian JKKN Sarawak dan Peter.
Mathew Ngau Jau dilahirkan dan dibesarkan di rumah panjang, Sungai Baram di dalam persekitaran yang kurang dipengaruhi budaya luar kerana berada jauh di pedalaman Sungai Baram. Berbekalkan bakat yang ada, beliau mewarisi pelbagai khazanah masyarakatnya Ngorek dari suku Kenyah. Mereka adalah perintis pembukaan Baram dan sejak kecil, Mathew sering terdedah dengan muzik sape dan lagu-lagu tradisi dan sekarang menjadi salah seorang pemuzik sape yang terkenal dan digelar sebagai βThe Sape Masterβ di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau pernah mewakili negara ke Paris pada tahun 2008 untuk mempromosi muzik sape sebagai kebudayaan masyarakat Malaysia. Kebolehan beliau tidak terhad kepada bermain muzik sape sahaja tetapi turut menghasilkan alat muzik sape, menghasilkan lukisan-lukisan tradisi, menari tarian ngajat dan sebagainya. Sehingga kini, Mathew masih memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat mempelajari seni pemainan muzik sape kepada orang ramai di Inap Desa Lan E Tuyang, Kampung Atas Singai, Bau yang diusahakannya sendiri.
Mathew adalah penerima Anugerah Warisan Kebangsaan pada 11 Ogos 2015 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Pengalaman luasnya dalam seni muzik sape turut menjadikan beliau sebagai pakar rujuk dalam bidang muzik sape.
Sebarang pertanyaan mengenai acara-acara ini boleh menghubungi;
Hassanal Redzuan
Pegawai Perhubungan Jabatan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak (JKKNS)
Tingkat 5 Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93000, Kuching, Sarawak
Tel : 082-422 006 / 423 106 H/P : 013-5727575
Fax : 082-244 394 Email : [email protected]
Facebook/Instagram/Twitter/ : JKKN Sarawak