02/07/2022
RAMLY: The King of Malaysian Burger
RAMLY BIN MOKNI
Anak Parit Buntar Yang Berjaya
"Saya pernah membuat pinjaman pada 1987 tetapi ditolak oleh institusi kewangan".
Ramai peniaga burger di luar sana menjual burger dengan menggunakan produk jenama Ramly. Namun kebanyakan daripada mereka tidak kenal bagaimanakah paras rupa pemilik kepada jenama tersohor iaitu Ramly Burger.
Pernah satu ketika, Ramly Bin Mokni iaitu pemilik kepada Ramly Burger keluar membeli burger dengan peniaga di jalanan yang menggunakan jenama Ramly Burger namun tidak mengenalinya dan buat tidak tahu sahaja dengan kehadiran pemilik Ramly Burger tersebut. Begitu rendah diri orangnya.
Ramly Burger diasaskan pada tahun 1984 dan dimiliki sehingga kini oleh Dato’ Haji Ramly Bin Mokni dan Datin Hajjah Shala Siah Binti Abdul Manap dari cetusan idea dan hasrat murni untuk mengeluarkan produk yang halal, bersih dan bermutu.
Ramly Bin Mokni adalah seorang tokoh perniagaan yang berasal dari Tanjung Piandang, Perak. Beliau adalah anak yang ke 8 daripada 16 orang adik-beradik. Dikatakan, beliau membesar di Sekinchan, Selangor sehingga dewasa dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan.
Sebut sahaja burger, pasti nama satu jenama yang tidak asing lagi iaitu Ramly akan bermain di fikiran. Ya, rata-rata kita semua membesar dengan mengenal Ramly Burger dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat negara Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan pangkat.
Ramly Burger adalah jenama yang menjadi kebanggaan buat seluruh warga negara Malaysia. Hal ini kerana ia sudah cukup sinonim dengan penerimaan rakyat Malaysia dengan nama Ramly untuk makanan ala barat tambahan lagi apabila berkaitan dengan burger.
Kisahnya bermula pada tahun 1978 yang mana pada waktu itu negara kita kecoh dengan isu halal haram berkenaan dengan daging burger ini. Jadi, Ramly Bin Mokni sebagai pemotong daging mengambil peluang ini untuk buat sendiri dan menjual daging burger dari rumah bersama dengan bantuan isterinya, Shala Siah Binti Abdul Manap.
Dengan berbekalkan modal sebanyak RM2,000 pada waktu itu, mereka suami isteri telah buat sendiri daging burger secara manual dengan tanpa bantuan apa-apa mesin sokongan semata pisau sahaja di rumah mereka disebuah flat Jalan Haji Hussein, Kampung Baru.
Dikatakan pada mula perniagaan mereka dapat kurang sambutan kerana masyarakat di negara Malaysia pada waktu itu tidak gemar makan burger. Namun, berkat kesabaran dan kecekalan pemilik Ramly Bin Mokni dan isteri, mereka tetap terus berniaga dan buka gerai burger berdekatan dengan kawasan Chow Kit.
Sejak dari itu, permintaan terhadap daging Ramly Burger semakin hari semakin bertambah. Bermula dengan 200 keping daging sehari kemudian mereka mula mendapat tempahan sehingga 3,000 keping sehari.
Pada tahun 1980, mereka mula buka syarikat dan hanya empat tahun kemudian, mereka telah berjaya membuka sebuah kilang di Bandar Tun Razak dengan menghasilkan kira-kira 10,000 keping dalam 1 hari.
Cabaran Ramly Burger yang paling besar sewaktu mula-mula hendak membangun adalah pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) menolak permohonan pinjaman mereka dengan alasan orang Malaysia tak ramai makan burger akan tetapi pihak Bank Pembangunan p**a yang luluskan permohonan mereka.
Hari ini, jualan tahunan Ramly Burger mencecah RM1 billion dan daging yang digunakan untuk sehari menghampiri 1.5 tan untuk menghasilkan pelbagai jenis produk jenama Ramly. Kini, jenama Ramly bukan lagi sekadar mengeluarkan daging burger, malah sosej, nuget, bebola daging, daging kisar, sos cili dan banyak lagi turut dihasilkannya.
Kecekalan dan konsisten Tuan empunya nama Ramly Bin Mokni dalam penghasilan perniagaan boleh dijadikan panduan.
Semoga Bermanfaat
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞
***********************