30/09/2024
TIPS KAYA CEPAT YANG BUKAN SCAM -- Pepatah orang-orang tertentu "Tak hensem takpe, janji kaya". Pakcik tak setuju sebab pakcik dah buktikan yang pakcik kaya dalam keadaan pakcik masih hensem. Sila rujuk gambargajah yang diberikan.
Nubis sekalian, sila ambil buku nota, pen, liquid paper, stapler untuk ambil nota ini.
1. Orang nak kaya sebab nak hidup gembira. Mereka kerja keras untuk dapat banyak duit. Duit digunakan untuk melakukan apa yang mereka gembira lakukan. Akhirnya mereka gembira. Mari kita ringkaskan. Kerja keras akhirnya gembira. Kita pergi pada para ke-2
2. Jika guna sifir di atas, kita melalui fasa yang tak gembira untuk akhirnya jadi gembira untuk merasa kita kaya. Ubah daripada buat kerja yang kita tak gembira kepada kerja yang kita s**ai. Sekalipun belum kaya duit banyak, tapi kita dah boleh mendapat kegembiraan. Macam Pakcik masa s**a main kamera, pakcik jadi fotografer. Pakcik gembira ambil gambar, sampai akhirnya pakcik kaya ambil gambar dan gembira tanpa tekanan macam nak bunuh diri. Sekarang pakcik s**a travel, pakcik jadikan travel sebagai bisnes. Itu baru kaya.
3. Kaya ini ikut piawaian kita tetapkan. Ada orang RM1000 sebulan dah kaya. Ada orang duit 1 beliun belum kaya lagi. Pada pakcik, selagi pakcik, isteri dan anak-anak pakcik gembira maka pakcik kaya.
4. Bila kita gembira, kita buat kerja dalam keadaan kurang tekanan. Idea datang mencurah-curah. Kita buat apa kita gembira. Kalau rugi, kita gembira. Kalau untung, kita lagi gembira. Maka, bila kita gembira kita confirm akan kaya.
5. Berhenti benchmark diri kau dengan orang lain. Nanti kau mula dari elok gembira dengan Honda Civic tiba-tiba bila kawan kau beli Ferrari kau p**a yang panas hati. Ingatlah, kau beli kau bayar. Dia beli, dia bayar. Nak banding buat apa, dari kita panas baik kita jumpa dΜΆaΜΆnΜΆ ΜΆcΜΆaΜΆlΜΆaΜΆrΜΆkΜΆaΜΆnΜΆ ΜΆkΜΆeΜΆrΜΆeΜΆtΜΆaΜΆ ΜΆdΜΆiΜΆaΜΆ ΜΆ dan ucapkan tahniah.
6. Hentikan anggap kehidupan satu perlumbaan hanya kerana ada motivator kata kau adalah juara pelumba yang menjadi sperma yang terlaju sampai ke telur. Sebab itu kau terjadi secara biologikal. Kau gelakkan sahaja motivator itu dan minta dia muhasabah dan munasarawakkan diri bahawa follicular fluid mempengaruhi sperma mana yang dibenarkan mensenyawakannya. Ok tutup dulu subjek Sains Tingkatan 3 Bab 1. Nak kaya cepat, jangan bersaing tapi bergandingan. Kata orang kampung pakcik "Do not compete but complete". Daripada berlumba baik bekerjasama. 10 orang buka kedai tayar kecil-kecilan berasingan, kenapa tak jadikan semua itu 1 kedai tayar yang besar. Semua dapat, semua kaya.
7. Hidup bukan perlumbaan. Satu dalil besar kenapa bukan satu perlumbaan ialah kita semula bermula pada titik yang tidak sama. Mana ada orang berlumba permulaan asing-asing kan? Baik jangan berlumba, hidup pun tak stress. Bila kurang stress kita tak gemuk. Bila tak gemuk kita sihat. Bila sihat kita tak kena serangan jantung. Maka kita hidup lebih lama dan bahagia.
8. Jangan belanja kerana ego, tapi belanja kerana perlu. Belanja ego ni macam masuk kedai nak cari yang paling mahal ada jenama. Beli di Sopi kualiti sama harga 10% sahaja dari yang mahal tadi. Tapi kerana nak orang tengok status sosial kita pakai jenama pereka ternama, mahal pun sanggup bayar. Bila kita puasakan kemahuan, kita mampu mencukupkan keperluan kita dan orang-orang lain juga.
9. Ubah mentaliti kau nampak kaya kerana kau ada kereta cap haiwan seperti kuda dan lembu yang dipandu sekali sekala. Pada kebiasaannya duduk dalam kelambu dalam garaj. Orang kaya sebenar dia banyak memberi dan membantu orang. Dia punya kaya sampai yang dia ada pun senang-senang bagi pada orang berbanding orang yang duit orang pun kalau boleh dia nak tarik masuk poket dia.
Semoga dengan tips ini, kaurang semua jadi kaya serta merta. Sebab mudahnya kaya seperti kau ubah polafikir dan takrifan kaya tadi, automatis kau tidur malam ini sebagai orang kaya.
Terima kasih
SAIFUL NANG
Presiden
Kelab Orang-orang Kaya Kebangsaan.
Notakaki : Orang kaya hari ini biasanya tak kelihatan kaya. Orang miskin sekarang kebanyakannya nampak kaya. Kalau kita betul-betul kaya, kita tak perlu nak tunjuk kita kaya pun sebab pertunjukan itu tak membuatkan si kaya bertambah kaya.