02/12/2022
Pokok Ajaib memang ajaib โฆ
Pokok Ajaib - makan apa pun terasa manis
Pada 29 November 2022, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan upacara menanam pokok Buah Ajaib (Synsepalum dulcificum) di perkarangan Istana Negara, bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-260.
Upacara penanaman pokok ini adalah sebagai simbolik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-260.
Pokok ajaib atau disebut juga pokok 1000 manis dan pelbagai nama dalam bahasa Inggeris seperti miracle fruit, miracle berry, magic berry atau miraculous berry.
Pokok ini merupakan sejenis pokok yang mengeluarkan buah berbentuk beri yang bertindak meneutralkan sebarang kesan asid.
Buahnya berasa tawar namun selepas memakan buah ajaib ini, setiap benda yang dimakan akan berasa manis.
Sebagai contoh, apabila memakan buah dari pokok ajaib ini, kemudian minum air kosong, air kosong akan dirasa manis atau jika memakan buah belimbing buluh, rasa masamnya akan bertukar rasa manis.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kandungan sejenis protein yang terdapat pada buahnya yang dipanggil miraculin yang berkesan sebagai sumber yang memberikan rasa manis secara semula jadi.
Pokok ajaib dikatakan berasal dari Afrika Barat dan bagi masyarakat di kawasan beriklim tropika ini kerap menggunakan buah dari pokok ajaib ini untuk membaiki rasa makanan yang telah rosak atau basi.
Pokok ajaib atau nama saintifiknya Synsepalum dulcificum dari keluarga Sapotaceae ini adalah tumbuhan renek rimbun dan boleh ditanam dalam pasu besar atau di atas tanah dan boleh mencapai ketinggian diantara 2 - 5 meter.
Ia mula berbuah selepas 3 โ 4 tahun ditanam dan mengeluarkan buah sepanjang tahun. Bunganya kecil berwarna putih dan buahnya yang berbentuk bujur berwarna hijau ketika muda dan akan berubah menjadi merah terang apabila matang.
Walaupun buahnya tidak mempunyai rasa manis, tetapi ia mampu menghilangkan semua rasa masam dan menggantikannya dengan rasa manis.
Pokok ajaib hidup subur ditanah yang agak berasid pada pH antara 3.5 hingga 5.8 dan memerlukan air yang mencukupi tetapi tidak berlebihan. Dibiakkan melalui biji atau keratan batang.
Selain dari menukar rasa masam pada makanan lain kepada manis, buah ajaib ini dipercayai mampu mengawal penyakit kencing manis, darah tinggi dan mengurangkan kolestrol. Ianya juga mampu menahan kesakitan luka pada usus, kerana buahnya mampu menukar rembesan asid dari perut yang luka kepada alkali.
Daun pokok ajaib juga boleh menyembuhkan sakit gigi dengan mengunyahnya, selain dari itu amalan meminum air rebusan dari daunnya setiap hari baik untuk mereka yang menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Mengikut kepercayaan nenek moyang, buah ajaib mampu mengurangkan bisa gigitan serangga dan penyakit gatal kulit dan mengurangkan resdung, jerawat dan jeragat.
Kredit foto : Istana Negara
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan