15/04/2021
------------------------
🌙AKHLAK NABI MENJELANG RAMADAN 🌙
Disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a. katanya:
أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَنَمًا بَيْنَ جَبَلَيْنِ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهُ فَأَتَى قَوْمَهُ فَقَالَ: "أَيْ قَوْمِ أَسْلِمُوا فَوَاللَّهِ إِنَّ مُحَمَّدًا لَيُعْطِي عَطَاءً مَا يَخَافُ الْفَقْرَ" فَقَالَ أَنَسٌ: إِنْ كَانَ الرَّجُلُ لَيُسْلِمُ مَا يُرِيدُ إِلَّا الدُّنْيَا، فَمَا يُسْلِمُ حَتَّى يَكُونَ الْإِسْلَامُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا
Maksudnya: “Ada seorang lelaki meminta seekor kambing daripada Nabi Muhammad SAW di antara dua bukit. Kemudian tanpa ragu-ragu, Baginda pun memberikan kambingnya kepada orang itu. Lalu orang itu datang kepada kaumnya seraya berkata, “Wahai, kaumku! Masuklah kalian semua ke dalam agama Islam! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad telah memberiku suatu pemberian tanpa takut miskin.”
"Anas bin Malik berkata: “Sungguh jika seseorang masuk Islam tujuannya hanyalah untuk mendapat harta dunia, maka tidaklah ia masuk Islam sehingga akhirnya Islam lebih ia cintai daripada dunia dan seisinya”
(HR Muslim, No. Hadis 2312)
Secara umumnya, hadis ini menggambarkan sifat pemurah Nabi Muhammad SAW. Namun apabila disoroti semula, sifat ini tidak terhad kepada orang Islam, bahkan Baginda juga memberikan kepada orang bukan Islam sehingga menarik hati mereka memasuki Islam.
Kesannya, orang yang meminta kambing itu bukan sahaja memasuki Islam, bahkan beliau p**ang kepada kaumnya dan berdakwah kepada mereka dengan menjelaskan kemurahan hati Nabi Muhammad SAW. Allahu Akbar.
🍁PEMURAH MENJELANG RAMADAN
Dalam menghitung hari menanti kedatangan bulan Ramadan, antara sifat mahmudah yang perlu kita didik dalam diri adalah pemurah.
Hal ini kerana, sifat pemurah Nabi Muhammad SAW apabila menjelang Ramadan semakin berganda. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda. Jibril a.s. menemui Baginda setiap malam di bulan Ramadan sehinggalah selesai Nabi Muhammad SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya. Ketika Jibril a.s. datang, Baginda memberikan kebaikan melebihi angin mursalah (yang bertiup atau yang dikirimkan).”
(HR Bukhari)
Intipati hadis ini menerangkan:
• Baginda merupakan contoh tauladan seorang yang bersifat pemurah.
• Sifat pemurah Nabi Muhammad SAW semakin terserlah apabila tibanya bulan Ramadan.
• Titik perubahan sifat mulia ini bermula setelah berlakunya pertemuan antara Baginda dengan Malaikat Jibril, untuk memperdengarkan bacaan al-Quran lalu disemak oleh Jibril.
• Sifat pemurah Nabi Muhammad SAW ini diibaratkan seperti angin yang bertiup (al-rih-al-mursalah).
🍁MAKSUD RIH AL-MURSALAH
Rih al-Mursalah bermaksud angin yang bertiup.Gambaran sifat pemurah Nabi Muhammad SAW dan dikaitkan dengan rih al-mursalah adalah merujuk kepada tindakan pantas Nabi Muhammad SAW bersedekah tanpa mengira keadaan Baginda pada ketika itu.
Di dalam Kitab Fath al-Bari, Imam al-Zain bin al-Munayyir menjelaskan :
“Persamaan antara kemurahan Nabi Muhammad SAW dengan kebaikan yang dibawa oleh rih al-mursalah adalah, angin tersebut ialah angin pembawa rahmat yag diutuskan Allah SWT untuk menurunkan hujan secara menyeluruh sehingga membasahi tanah yang telah mati atau yang hidup.”
“Kebaikan Baginda telah dirasai oleh semua orang, baik buat mereka yang faqir dan memerlukan, atau bagi mereka yang kaya dan mempunyai kecukupan, ia lebih banyak daripada hujan yang diturunkan disebabkan angin yang bertiup.”
🍁BENTUK SIFAT PEMURAH NABI MUHAMMAD SAW
Seringkali kita mengecilkan ruang pemurah dengan maksud memberikan barang atau material. Namun, Baginda tidak seperti itu.
Bahkan Baginda memberikan segala kebaikan yang ada pada dirinya untuk berkongsi bersama orang sekelilingnya.
Disebutkan di dalam Kitab Latha’if al-Maarif, karangan Ibnu Rajab:
"Pada diri Nabi Muhammad SAW terkumpul pelbagai bentuk sifat dermawan. Baginda s**a menderma dengan ilmu dan harta. Baginda mengorbankan jiwa untuk memperjuangkan Islam yang Baginda bawa. Baginda juga memberikan manfaat kepada umat dengan menempuh pelbagai jalan. Bentuk manfaatnya adalah dengan memberi makan kepada orang yang lapar, menasihati orang yang tidak mengetahui, memenuhi hajat orang yang memerlukan dan melepaskan bebanan orang yang di dalam kesusahan."
Di dalam kitab Zad al-Ma'ad p**a, Ibnu al-Qayyim ada menyebut mengenai sifat pemurah Rasulullah SAW:
"Sungguh Nabi Muhammad SAW adalah orang yang sangat pemurah. Ketika tangan kanannya memberikan sesuatu, bagaikan hembusan angin yang sejuk. Hati Baginda sentiasa terpanggil untuk membantu. Apabila didatangi oleh orang yang meminta sesuatu, maka dengan penuh semangat, Baginda berusaha untuk memenuhi hajat orang lain. Ada ketikanya Baginda membantu dengan makanannya sendiri, atau ada ketika dengan memberikan hadiah, dan ada ketikanya Baginda menjual sesuatu yang hasilnya akan disedekahkan”.
“Dalam keadaan berhutang p**a, apabila Baginda ingin kembalikannya semula, Baginda akan membayar lebih daripada harta yang dipinjam. Bahkan kadangkala Baginda membeli sesuatu, tetapi dibayar melebihi harga sebenar.”
Bermakna, sifat pemurah Nabi Muhamamd SAW sangat bermanfaat dan sifatnya menyeluruh dalam semua aspek. Bukan hanya orang miskin yang mendapat kebaikan, malah orang yang berkemampuan juga mendapat manfaatnya. Bukan sekadar material tetapi lebih luas daripada itu.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.
🍁SIAPA YANG PATUT DIDAHULUKAN?
Terkadang kita sering memandang orang yang jauh daripada kita untuk dibantu. Namun, Nabi Muhamamd SAW mendidik umatnya agar mengutamakan sikap pemurah ini dalam kalangan keluarga dahulu, kemudian barulah kepada orang lain.
Bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amie r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah kepada orang miskin pahalanya satu sedekah, sedangkan sedekah kepada kerabat pahalanya dua; pahala sedekah dan pahala silaturrahim."
(HR an-Nasaie, bertaraf sahih)
Jelas, hadis di atas menunjukkan bahawa sedekah pada ahli keluarga bukan sahaja mendapat ganjaran pahala sedekah malah ditambah dengan pahala mengeratkan silaturrahim.
Bersempena bulan Ramadan yang bakal tiba, mari kita mula berazam dan berusaha mendidik diri menjadi seorang yang pemurah. Mulianya sifat pemurah kerana ia adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah.
Kemudian, sifat ini bukan sahaja menjemput keberkatan hubungan kita dengan Allah, bahkan ia menjalinkan hubungan sesama manusia walaupun hanya dengan memberikan senyuman yang manis.
Semua manusia berpeluang untuk menjadi pemurah bukan sahaja daripada sudut harta dan material, tetapi juga dengan akhlak yang mulia dan ilmu yang bermanfaat.
Semoga dengan berusaha mencontohi insan mulia Nabi Muhammad SAW yang sentiasa bersifat pemurah menjadi salah satu asbab kita mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.
sumber:ASMA’ BINTI HARUN