Umrah Mudah Sungguh

Umrah Mudah Sungguh Ia adalah kursus umrah dan pakej umrah bersama Ustaz Khairul Anuar Basri Al-Hafiz, penulis buku Umra

06/10/2023
06/10/2023

Umrah Mudah Sungguh

Pernah rasa takut nak ke Tanah Suci sebab dengar cerita-cerita pelik?

Pernah rasa malas nak buat umrah sebab macam-macam doa dan zikir nak kena hafal?

Pernah rasa macam ibadah Umrah ni macam susah je sebab kena nak kena observe banyak sangat pantang larang?

Bacalah buku Umrah Mudah Sungguh. Nanti anda akan rasa memang umrah ni mudah sungguh. Tak la susah macam yang digembar-gemburkan.

Paling istimewa, inilah satu-satunya buku panduan umrah di dunia yang tiada walau sepatah pun zikir dan doa. Semuanya memang mudah dan memudahkan.

🛒Tekan link dibawah untuk pembelian 👇🏻

shopee : https://shope.ee/9UZpgANW2S

✨ Tekan link dibawah untuk ikuti kami di platform lain 👇🏻

Linktree : https://linktr.ee/AlAnwarResources

19/02/2023

MENGAPA UMRAH VIP?

Semua manusia adalah sama penting di sisi Allah. Semua manusia memiliki peluang yang sama banyak untuk mendapat tempat yang istimewa di sisiNya.

Tidak kira apa kondisi fizikal dan latarbelakang sosialnya, manusia yang terbaik tetap juga orang yang paling bertaqwa kepada Allah. Peluang menjadi manusia yang bertaqwa dibuka seluas-luasnya oleh Allah kepada seluruh manusia yang diciptakanNya.

Firman Allah SWT :

يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ اِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوْا ۚ اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.

Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.”

[Surah Al-Hujurat ayat 15]

Bukanlah alasan untuk manusia menyisihkan diri dan berputus asa dari rahmat Allah, jika ada terdapat sebarang kelemahan pada dirinya kerana kelemahan itulah sifat asas yang diciptakan pada diri manusia. Wajib ke atas setiap manusia untuk sentiasa mengharapkan rahmat Allah agar beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya.”

‘VIP’ menerusi buku ini bukan bermaksud ‘Very Important Person’ dalam konteks yang biasa difahami dan digunapakai oleh kebanyakan orang. Istilah VIP seringkali merujuk kepada sekump**an manusia yang memiliki kelebihan-kelebihan tertentu yang menarik perhatian ramai sehingga diberi pelbagai keistimewaan sebagai meraikan kelasnya yang tersendiri.

Tetapi VIP dalam buku ini ialah ‘Very Important Patient’. Ia adalah lawan kepada VIP dalam konteks biasa. Orang yang sakit, uzur, warga emas dan pengidap penyakit kronik sekalipun, juga adalah kump**an manusia yang perlu diberikan keistimewaan dalam apa jua aktiviti yang mereka sertai.

Lebih-lebih lagilah dalam perkara yang berkaitan ibadah khusus seperti umrah. Kita tidak boleh sama sekali mendiskriminasikan golongan VIP ini kerana mereka juga mempunyai hak untuk melakukan ibadah seperti orang lain yang lebih baik kondisi kesihatannya.

Menjadi tanggungjawab kepada semua untuk memastikan perkara ini agar kump**an VIP ini tidak merasa rendah diri atau pun merasa terhalang untuk meneruskan niat suci mereka untuk beramal ibadah. Dengan mindset yang betul, ilmu yang lengkap dan motivasi yang tinggi, siapa sahaja boleh menyempurnakan ibadah umrah dengan sempurna.

Bukankah kehidupan ini adalah ujian?

Firman Allah SWT :

الَّذِيْ خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيٰوةَ لِيَبْلُوَكُمْ اَيُّكُمْ اَحْسَنُ عَمَلًاۗ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْغَفُوْرُۙ

“Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan, untuk menguji siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.”

[Surah Al-Mulk ayat 2]

Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan dalam mencari makna hidup dalam keredhanNya.

06/02/2023

DERAF BAB 19.

Firman Allah SWT :

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”.

[Suraj Ali Imran ayat 133]

Walau siapa pun kita, jangan sesekali merasa diri kurang bernasib baik berbanding orang lain. Walau bagaimana sekali keadaan fizikal dan kesihatan kita, jangan sesekali merasa diri tidak layak untuk menyahut panggilan pergi ke Tanah Suci.

Kita semua berhak untuk mendapat rahmat Allah. Kita semua berhak untuk mendapat pahala yang banyak. Kita semua berhak untuk masuk ke dalam syurga Allah yang penuh dengan nikmat.

Allah itu maha adil. Allah itu maha pengasih. Allah itu maha penyayang.

Allah tidak pernah mendiskriminasikan sesiapa sekali pun. Allah akan beri peluang yang banyak kepada semua orang. Allah akan bantu orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah SAW :

إذا تَقَرَّبَ العبدُ إليَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إليه ذِرَاعًا، وإذا تَقَرَّبَ إليَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ مِنْهُ بَاعًا، وإذا أتاني يمشي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

“Jika seorang hamba mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya satu hasta. Jika dia mendekatiKu satu hasta, Aku akan mendekatinya satu depa. Jika dia mendatangiKu dengan berjalan kaki, Aku akan mendatanginya dengan berlari kecil."

[Hadith riwayat Al-Bukhari]

Allah tidak menjemput orang yang mampu untuk mengerjakan umrah. Tetapi Allah akan memampukan orang yang mahu untuk mengerjakan umrah.

Semuanya bermula dengan mindset yang betul. Halangan mula timbul apabila mindset tidak membantu kita mencapai apa yang kita inginkan.

Dari awal sudah mengalah. Dari awal sudah mencari salah. Dari sudah mengatakan diri tidak boleh.

Mintalah sungguh-sungguh kepada Allah untuk sampai ke bumiNya yang diberkati. Nanti kita akan temui hikmah dan pengajaran yang sangat banyak.

Jika kita fikir kita miskin, kita akan jumpa orang yang lagi miskin.

Jika kita fikir kita uzur, kita akan jumpa orang yang lagi uzur.

Jika kita fikir kita sudah terlalu tua, kita akan jumpa orang yang lagi tua.

Jika kita fikir kita sakit, kita akan jumpa orang yang lagi sakit.

Jika kita fikir kita tidak sempurna anggota tubuh badan, kita akan jumpa orang yang lagi tidak sempurna anggota tubuh badan.

Mengapa mereka boleh ke Tanah Suci dan mengerjakan ibadah umrah? Mengapa mereka mampu ke Mekah dan Madinah dan melakukan pelbagai ibadah?

Tidak lain dan tidak bukan kerana keinginan mereka yang sangat kuat. Keinginan itu terlalu kuat sehingga bisa mengalahkan apa saja halangan, cabaran dan dugaan. Akhirnya di sana mereka temui keseronokan dan kegembiraan yang hakiki.

Alangkah sayunya hati apabila mata mula memandang Kaabah buat pertama kali. Genangan air mata tidak dapat dibendung lagi apabila memandang kubah hijau yang tersemadi di bawahnya jasad Nabi SAW.

Itulah antara kenangan terindah yang hanya boleh dinikmati oleh orang yang pernah sampai ke Tanah Suci. Lebih manis lagi apabila teringatkan janji Rasulullah SAW :

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ ‏

“Tempoh waktu antara satu umrah dengan umrah yang seterusnya merupakan penghapus dosa, dan haji yang mabrur akan menatijahkan balasan syurga”.

[Riwayat Al-Bukhari (1773) dan Muslim (1349)]

Berazam, berusaha dan berdoa. InsyaAllah, perjalanan kita semua menuju Baitullah akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

03/02/2023

DERAF BAB 16.

“Ustaz, pagi tadi masa tawaf umrah saya sentuh dan cium Kaabah”, tersentak sekejap saya bila membaca whatsapp yang baru saya terima.

“Cium tu masa bila?”, tanya saya nakkan kepastian.

“Masa pusingan ketiga”, balasnya pantas.

Saya terdiam. Tak tahu nak cakap apa. Rasa geram pun ada. Sebab itulah antara yang selalu saya ingatkan kepada para jemaah umrah yang turut serta dalam kump**an yang saya bimbing.

Ini kes berat. Ia bukan saja tentang kesalahan memegang Kaabah ketika tawaf. Ia berkait dengan ibadah umrah yang tak selesai.

Sentuh Kaabah masa tawaf, pusingan itu batal. Batal pusingan tawaf, tidak cukup 7 pusingan. Lepas tu terus dengan Saei tidak sah kerana tawaf tidak sah. Semuanya sudah rosak.

Bila umrah tidak selesai, jemaah umrah masih berada dalam ihram. Bila jemaah umrah masih dalam ihram, pantang larang ihram mesti kena patuh.

Macamana tu? Rumit masalah ni kan?

“Masa tawaf jangan excited sangat. Jangan cuba-cuba nak pegang atau cium Kaabah. Selesaikan dulu tawaf tu, kemudian barulah datang semula kalau nak pegang ke, nak peluk ke, atau nak cium”, skrip ini berputar-putar dalam kepala saya.

Tengok jam, masa tu baru pukul 6.22 minit pagi. Kebetulan p**a saya diserang demam yang agak kuat. Nak angkat badan pun tak larat. Sekarang nak kena fikir p**a masalah orang lain.

Saya biarkan saja whatsapp tu tergantung. Saya tak rasa nak balas. Nanti bila saya dah hilang geram, rasa sejuk sikit dan dah tenang-tenang saya akan balas.

Kalau tak pun, nanti saya jumpa sendiri dengan jemaah yang terbabit. Niat di hati, sambil bagi jawapan, sambil nak berleter sebab buat silly mistake.

Kemudian saya terlelap. Niat di hati nak tidur sekejap saja sebab pagi tu kami semua akan bergerak ke Taif untuk program ziarah.

Tepat jam 7.22 minit pagi, melantun-lantun telefon bimbit saya berbunyi. Biasanya bunyi macam tu maknanya ada mesej masuk.

“Tolong… tolong… datang ke bilik 4518 sekarang”, tulis salah seorang daripada jemaah umrah.

“Coming”, jawab saya ringkas.

“Ustaz tolong… tolong… cepat… tolong panggil ambulan. Hasnul Azan ni dah tak bernafas”, balasnya sekali lagi.

Terus terbangun saya daripada atas katil. Ini betul-betul cemas. Macam-macam perasaan mula datang dalam benak fikiran saya.

Tak semena-mena, daripada demam yang kuat, terus saya dapat kekuatan. Ini kes berat. Saya mesti selesaikan kes ini terlebih dahulu. Demam ke, sakit ke, terpaksa tolak ke tepi segera.

Saya terus hubungi pegawai syarikat pelancongan yang menguruskan kump**an saya di Tanah Suci. Minta mereka bantu saya sebab ini pengalaman pertama saya berhadapan dengan kes macam ni.

Insiden ini mungkin berakhir dengan kematian!

Bila saya sampai di bilik 4518, saya tengok dah ramai orang di depan pintu bilik. Jemaah-jemaah umrah yang lain sampai lebih dahulu daripada saya. Ahli keluarga juga memenuhi ruang di dalam bilik.

Saya terus masuk dan melihat jemaah umrah terbabit yang terbaring di atas lantai. Nampak seperti sudah tak bernafas.

“Saya dah cuba buat CPR. Tapi tak berjaya”, kata salah seorang jemaah.

“Nadinya dah berhenti. Technically arwah dah meninggal”, kata salah seorang doktor yang juga ahli jemaah umrah dalam kump**an saya.

Dada saya berdebar. Inikah orangnya yang whatsapp saya bertanya soalan tentang cium Kaabah pagi tadi?

Memang sah. Beliaulah orangnya. Aduuuhhhh… macam-macam perasaan lain datang dalam hati saya. Terkejut, sedih, terkilan, rasa bersalah dan seribu satu perasaan yang tak dapat nak digambarkan dengan perkataan.

Urusan pengurusan jenazah berjalan mengikut prosedur sejurus selepas itu. Prosedur ini akan saya ceritakan dalam bab yang seterusnya.

Kami semua pergi ke Taif seperti yang telah dirancang. Seharian kami di Taif sehinggalah kami p**ang dan sampai di Mekah sejurus sebelum azan Isyak.

Alhamdulillah, kami semua sempat solat jenazah untuk arwah bersama-sama selepas solat Isyak dengan seluruh jemaah yang hadir di Masjidil Haram.

Malam itu saya berfikir panjang. Muhasabah diri sendiri. Mana-mana jemaah umrah dalam kump**an saya yang saya temui, saya pasti akan sebut perkara ini.

Pengetahuan manusia memang terbatas. Pengetahuan Allah jualah yang hakiki.

Di pandangan mata kita, manusia dah pun buat silap. Kita rasa nak marah dengan silap tersebut kerana pada mata kita, itu kesilapan yang tak sepatutnya dibuat.

Tapi hakikat di sisi Allah tetap menjadi rahsia Allah. Semuanya mempunyai hikmah yang tersendiri.

Siapa yang dapat menduga, arwah meninggal dalam keadaan tidak sempurna umrahnya kerana tawaf tidak cukup 7 pusingan, rupa-rupanya ditentukan Allah untuk mati dalam keadaan berihram?

إنا لله وإنا إليه راجعون

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه

Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita akan kembali.

Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahterakan dia dan maafkanlah segala salahnya.

Amin.

03/02/2023

DERAF BAB 14.

Selain daripada ibadah khusus seperti umrah dan solat 5 waktu secara berjemaah, para jemaah umrah pasti akan mengambil peluang untuk melakukan aktiviti ziarah sama ada di sekitar Mekah dan Madinah atau keluar lebih jauh sedikit daripada itu.

Jika jemaah umrah pergi sendiri dan tidak melalui syarikat pelancongan, keadaan akan jadi lebih mudah. Ini kerana jemaah umrah boleh menyusun sendiri jadual aktiviti ibadah dan ziarah sepanjang berada di Tanah Suci.

Keadaan akan sedikit berlainan apabila jemaah umrah mengikuti mana-mana pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat pelancongan. Ada ada ziarah yang telah termaktub dalam aturcara program dan ada juga aktiviti ziarah tambahan yang diberi pilihan sama ada hendak melakukannya atau sebaliknya.

Sepanjang berada di Mekah, para jemaah umrah kebiasaannya akan dibawa melawat tempat-tempat ibadan haji seperti Padang Arafah, Muzdalifah, Mina dan Jamarah. Tarikan paling menarik ialah Jabal Rahmah yang berada di Padang Arafah. Ramai jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk mendaki Jabal Rahmah dan bergambar di puncaknya sebagai kenang-kenangan.

Jemaah umrah juga akan dibawa ke Hudaibiyah. Di sana tidak ada aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan sebagainya. Ia lebih santai dan mudah bagi semua jemaah umrah tidak mengira kondisi fizikal dan tahap kesihatan.

Di Mekah juga ada Jabal Nur. Di puncak Jabal Nur itulah letaknya Gua Hira’. Ia adalah tempat pilihan bagi generasi muda untuk merasai pengalaman mendaki dan sampai ke tempat wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW suatu ketika dahulu.

Ada pakej umrah yang menawarkan program ziarah ke Taif. Jarak di antara Mekah dan Taif adalah sekitar 90 km. Ia akan mengambil masa selama hampir sehari bermula dari masa bertolak sehinggalah kembali semula ke Mekah.

Sementara itu di Madinah, para jemaah umrah akan dibawa melawat di sekeliling Masjid Nabawi. Kemudian, akan ada ziarah di sekitar Kota Madinah seperti ke masjid-masjid yang bersejarah, medan peperangan Uhud, ladang kurma dan sebagainya.

Ada juga jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk mengikut aktiviti ziarah tambahan. Lebih banyak lagi tempat bersejarah yang akan dilawati dan lebih lama lagi masa yang akan digunakan untuk menghabiskan lawatan tersebut.

Untuk jemaah umrah yang uzur, warga emas dan menginap penyakit kronik, pilih-pilihlah aktiviti ziarah mana yang hendak disertai. Jika mahu menyertai semua aktiviti sekali pun, jangan terlibat dengan aktiviti-aktiviti lasak yang boleh memudaratkan fizikal dan tubuh badan.

Turun naik bas berulang kali akan memenatkan jemaah umrah. Jemaah umrah yang menggunakan kerusi roda sudah tentulah akan merasai kes**aran yang amat sangat.

Aktiviti-aktiviti lasak juga berkemungkinan akan memudaratkan tubuh badan. Ia akan menjemput penyakit yang tidak disangka-sangka.

Para jemaah umrah sudah tentu berhak untuk tidak mengikuti semua aktiviti ziarah sebagainya yang telah dijadualkan. Terutamanya bagi jemaah umrah yang pernah pergi ke Tanah Suci, rehat adalah lebih utama.

Tenaga yang tersimpan akan menghasilkan kualiti yang lebih dalam beribadah. Jangan p**a sampai hilang fokus kepada ibadah, gara-gara terlalu asyik dengan aktiviti ziarah.

03/02/2023

DERAF BAB 13.

Siapa pun yang bakal pergi ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah, keselesaan mesti menjadi faktor penentu paling utama. Lebih-lebih lagi jika bakal jemaah umrah tersebut sudah uzur, warga emas atau menginap penyakit yang kronik.

Seperti yang telah saya jelaskan dalam bab yang terdahulu, ibadah umrah adalah ibadah fizikal. Bermula daripada perjalanan pergi, sepanjang berada di tanah suci dan akhirnya perjalanan p**ang, semuanya menagih pengorbanan fizikal yang bukan kaleng-kaleng.

Sebagai contoh, perjalanan dari KLIA ke Jeddah yang mengambil masa selama 9 jam. Kemudian, jika perlu menaiki bas untuk ke Madinah, maka ia mengambil masa selama 8 jam lagi. Kemudian, jemaah umrah mungkin akan menaiki bas sekali lagi untuk datang ke Mekah dan seterusnya menaiki pesawat selama 9 jam untuk p**ang semula ke Kuala Lumpur.

Setiap kali mengerjakan umrah, tenaga yang banyak perlu disediakan untuk tawaf dan saei. Sepanjang berada di Tanah Suci p**a, para jemaah umrah perlu berulang alik dari hotel ke masjid dan dari masjid ke hotel sebanyak 5 kali sehari semalam.

Jika duit bukan menjadi masalah utama, beberapa perkara mesti berada dalam pertimbangan dan perlu diberikan keutamaan oleh jemaah umrah :

1. Penerbangan terus dari Malaysia ke Arab Saudi.

Penerbangan terus sangat penting untuk menjimatkan masa dan tenaga. Bayangkan, jika penerbangan yang diselangi denggan transit, tempoh berada di udara sebelum tiba di Arab Saudi akan bertambah lama. Ini sudah tentu akan memenatkan.

Jika jemaah umrah memilih untuk terus melakukan umrah apabila tiba, tidak mengapa untuk memilih penerbangan terus yang mendarat di Jeddah.

Jika jemaah umrah memilih untuk pergi ke Madinah terlebih dahulu, maka carilah penerbangan terus dari KLIA ke Madinah. Ini sudah tentu akan menjimatkan masa dan tenaga.

2. Jarak hotel yang dekat ke masjid.

Ini juga faktor yang sangat penting. Jangan hanya kerana harga pakej yang lebih rendah, jemaah umrah sanggup untuk menginap di hotel yang jaraknya agak jauh dari masjid.

Perlu diingat, aktiviti ke masjid adalah aktiviti utama setiap beberapa jam sekali. Kebiasaannya p**a, para jemaah umrah akan pergi satu atau 2 jam lebih awal sebelum masuk waktu azan solat fardhu. Ini untuk mengelakkan kesesakan dan kes**aran memasuki bangunan masjid.

3. Pakej makan 3 kali sehari semalam.

Ada yang beranggapan, tidak mengapa jika tidak makan di hotel penginapan. Ada juga yang berpendapat, makanan yang dibeli sendiri di kedai untuk makan pagi, tengahari dan malam akan menjimatkan belanja. Makatidak perlulah memasukkan belanja tersebut ke dalam harga pakej umrah.

Sebenarnya, penyediaan makan yang lengkap 3 kali sehari semalam akan memudahkan para jemaah umrah. Lebih-lebih lagi kepada jemaah umrah yang uzur, warga emas dan mengidap penyakit kronik, sudah tentu ia akan banyak mem bantu ketika mereka berada dalam situasi yang tidak menyebelahi mereka.

4. Menaiki keretapi berkelajuan tinggi atau kenderaan GMC dari Mekah ke Madinah atau sebaliknya.

Sejak berpuluh-puluh tahun dahulu, kenderaan yang biasa digunakan oleh mana-mana kump**an jemaah umrah dari Mekah ke Madinah atau sebaliknya ialah bas.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah ada pengangkutan alternatif yang lebih selesa dan menjimatkan masa.

✅ Keretapi Berkelajuan Tinggi Haramain.

Para jemaah umrah boleh memilih pengangkutan ini sebagai ganti kepada bas. Masa yang diambil untuk perjalanan sehala dari Mekah ke Madinah dan sebaliknya hanyalah sekitar kurang dari 3 jam.

Ia pengangkutan yang sangat sesuai bagi jemaah umrah yang pentingkan keselesaan dan tidak mahu mengambil masa yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi bagi jemaah umrah yang uzur, warga emas dan mengidap penyakit kronik, sudah tentu pilihan keretapi laju ini adalah pilihan yang terbaik.

Cuma, setiap penumpang hanya dibenarkan membawa 1 bagasi bersaiz sederhana sahaja. Selebihnya akan diangkut dengan menaiki bas.

✅ Kenderaan GMC.

Kenderaan yang dipanggil GMC ini ialah kenderaan berkelas mewah yang besar dan selesa. Ia boleh memuatkan sekitar 7 orang penumpang pada satu-satu masa.

Untuk lebih keselesaan, 4 atau 5 orang penumpang sudah mencukupi. Bagasi-bagasi besar juga boleh dibawa sekali kerana ruangan dalamannya sangat luas.

Masa yang diambil untuk satu hala perjalanan ialah sekitar 3 ke 4 jam sahaja. Berbanding Keretapi Berkelajuan Tinggi Haramain, saya lebih syorkan kenderaan GMC untuk jemaah yang uzur, warga emas dan mengidap penyakit kronik.

03/02/2023

DERAF BAB 17.

Insiden kematian di Tanah Suci adalah suatu pengalaman baru dan berharga bagi ahli keluarga atau orang yang menemani si mati sepanjang berada di Tanah Suci.

Berikut adalah gambaran prosedur biasa dan apa yang perlu dilakukan oleh ahli keluarga atau jemaah umrah yang mengiringi si mati :

1. Laporkan insiden kematian kepada pihak pengurusan hotel tempat menginap. Pihak hotel akan mengarahkan pegawai perubatan hotel untuk ke bilik si mati bagi mengesahkan kematian.

2. Jika si mati mengikuti pakej mana-mana syarikat pelancongan, laporkan juga kematian tersebut kepada mutawif atau pegawai syarikat untuk urusan seterusnya. Kebiasaannya urusan berkaitan kematian akan diuruskan oleh pegawai yang telah ditetapkan.

3. Biasanya jenazah akan dibawa ke hospital untuk proses seterusnya. Jika bedah siasat diperlukan untuk mencari punca kematian, maka hospital akan melakukan bedah siasat.

4. Proses memandikan dan mengkafankan jenazah akan diuruskan terus oleh pihak hospital. Di peringkat ini, semua ahli keluarga - lelaki dan perempuan - boleu turut serta hadir ke hospital.

5. Pegawai yang bertugas juga akan memaklumkan kepada kepada pihak pengurusan tanah perkuburan bagi menempah liang lahad.

6. Masjidil Haram atau Masjid Nabawi (bergantung kepada tempat berlaku kematian) akan turut dimaklumkan oleh pegawai bertugas bagi penyusunan giliran solat jenazah.

7. Setelah segala urusan di hospital selesai, pihak hospital akan menghantar jenazah ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi untuk solat jenazah. Hanya ahli keluarga atau pengiring lelaki sahaja yang dibenarkan menaiki ambulan atau van jenazah ke masjid.

8. Solat jenazah akan berlangsung sejurus selepas solat fardhu. Ia akan diimamkan oleh imam yang bertugas dan diikuti oleh semua jemaah yang berada di masjid.

9. Selesai solat jenazah, ambulan atau van jenazah akan bergerak terus ke tanah perkuburan dengan membawa jenazah untuk urusan pengkebumian.

10. Pejabat Konsulat Malaysia di Jeddah akan dimaklumkan oleh pegawai syarikat pelancongan tentang kematian tersebut. Passport jenazah akan diserahkan kepada Pejabat Konsulat Malaysia untuk urusan pengeluaran sijil kematian. Ahli keluarga akan dihubungi oleh Wisma Putra di Kuala Lumpur apabila sijil kematian telah siap sedia untuk diambil.

03/02/2023

DERAF BAB 18.

Bertuahnya sesiapa yang meninggal dunia di Mekah atau Madinah. Ini kerana terdapat banyak keistimewaan sebagaimana yang disebut dalam hadith-hadith Rasulullah SAW.

✅ Ada hadith yang menyebut, sesiapa yang meninggal dunia di salah tu daripada Tanah Haram, dia akan dibangkitkan dari kuburnya dalam keadaan aman dan selamat.

من مات في أحد الحرمين بعث آمنا يوم القيامة

“Sesungguhnya sesiapa yang mati di salah satu daripada dua Tanah Haram maka dia akan dibangkitkan dalam kalangan orang yang aman dan selamat pada hari kiamat”.

[Hadith riwayat Thabarani]

✅ Rasulullah SAW juga menganjurkan kepada seluruh umatnya untuk sentiasa mengharapkan kematian di bumi Madinah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا ؛ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا

“Siapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di sana.

[Hadith riwayat al-Tirmidzi (3917)]

✅ Jika seseorang itu mati dalam keadaan berihram (Haji atau Umrah) maka sudah tentulah kematian itu lebih mulia lagi kerana dia mati dalam keadaan beribadah. Orang yang mati dalam keadaan berihram akan dikebumikan dengan kain ihram yang dipakainya.

✅ Apabila meninggal dunia di Mekah atau Madinah, sudah tentulah akan disolatkan di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Ini pun suatu kemuliaan yang tiada tolok bandingnya juga.

✅ Kapasiti Masjidil Haram ialah seramai 2.5 juta jemaah. Manakala Masjid Nabawi p**a ialah seramai 1 juta jemaah.

Bayangkan jika 50% sahaja yang solat jenazah sekalipun, ia bukan sahaja jumlah yang teramat besar tetapi sudah tentu termasuk di antara mereka orang-orang soleh dan orang-orang yang mustajab doa mereka.

✅ Bumi Mekah dan Madinah dipenuhi dengan jasad-jasad yang mulia sejak zaman berzaman. Sebagai Menjadi jiran di dalam kubur kepada jasad-jasad yang mulia tersebut juga sudah tentu adalah suatu penghormatan.

Di Madinah ada perkuburan Baqi’. Ia adalah perkuburan yang dirahmati oleh Allah. Di situlah bersemadinya jasad isteri-isteri, keluarga Rasulullah SAW dan juga para sahabat. Sehingga ke hari ini perkuburan tersebut masih lagi menjadi kubur utama penduduk Madinah.

Begitu juga dengan perkuburan Ma’ala di Mekah. Isteri Rasulullah SAW yang pertama iaitu Khadijah dikebumikan di situ. Ramai juga di kalangan sahabat dan para salihin yang bersemadi di situ. Tidak salah jika kita mempunyai impian untuk berjiran dengan mereka di dalam kubur kita nanti.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa memang ramai yang mengidam untuk mati di Mekah dan Madinah. Namun, semuanya bergantung kepada iman masing-masing. Walaupun telah dijanjikan dengan pelbagai kelebihan, termasuklah menjadi jiran kepada Rasulullah SAW, tanpa iman ia tidak akan berguna sama sekali.

Kelayakan utama untuk mendapatkan syurga adalah iman dan taqwa kepada Allah. Kelebihan yang disebutkan tadi akan dinikmati sekiranya seseorang yang meninggal di Mekah atau Madinah telah pun bertaubat dari segala dosa-dosanya sebelum meninggal dunia.

Begitulah serba sedikit kelebihan meninggal dunia di Mekah dan Madinah. Mohonlah kepada Allah agar dipilih untuk meninggal dunia di Mekah atau Madinah.

03/02/2023

DERAF BAB 15.

Firman Allah SWT :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati”

[Surah Ali Imran ayat 185]

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sama ada kita s**a atau tidak s**a, ajal pasti akan datang menjemput kita untuk kembali kepada Allah yang maha hidup.

Bila menyebut tentang mati, ada orang yang mati secara mengejut. Ada p**a orang yang mati dengan pelbagai tanda yang datang sebagai peringatan. Salah satu daripada tanda hampir dengan kematian ialah sakit yang menimpa tubuh badan kita.

Setiap anak Adam itu pasti tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Dosa-dosa tersebut perlu diminta pengampunan sebagai jalan penyelesaian. Jika dosa dengan Allah, maka mintalah ampun kepada Allah. Jika dosa itu dengan manusia, maka mintalah maaf dengan sesama manusia.

Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata :

كفى بالموت واعظًا

“Cukuplah mati itu menjadi peringatan”.

Selaian daripada peringatan terhadap sebuah kematian, sakit juga boleh jadi alat penghapus dosa yang sangat berkesan. Dengan syarat, orang yang sakit itu sentiasa redha dan bersabar. Di waktu yang sama, dia tetap kekal dalam ketaatan terhadap segala perintah Allah SWT. Walaupun dalam kesakitan, ia tidak sesekali dijadikan alasan untuk meninggalkan kewajipan yang telah difardhukan ke atasnya.

Bila kita sakit, kita sebenarnya insan istimewa. Kita diingatkan dengan sebuah kematian agar kita tidak leka dan lalai. Kita diberi pahala yang besar berkat kesabaran dan penyerahan diri kita sepenuhnya kepada Allah.

Jemaah umrah yang pergi menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci adalah insan-insan yang terpilih. Dalam ramai-ramai manusia, Allah menunjukkan sifat pengasihnya kepada jemaah umrah yang uzur dan mengidap penyakit kronik. Itu tanda Allah sangat sayangkan hambaNya dengan menggerakkan hati jemaah umrah tersebut untuk pergi menyahut seruan menunaikan umrah.

Apalah sangat sakit yang teruk itu jika dibandingkan dengan nikmat yang Allah curahkan kepada kita? Jika semua jemaah umrah faham konsep ini, mereka tidak akan berkeluh kesah walau sedikit pun. Terlalu banyak nikmat yang belum disyukuri berbanding sedikit kesusahan yang datang sebagai ujian dalam kehidupan.

Bahkan, peluang berada di tanah suci bagi jemaah umrah yang uzur mungkin boleh bertukar menjadi berita gembira jika Allah memilihnya untuk meninggal dunia di tanah yang diberkati. Inilah idaman dan impian orang-orang yang soleh. Mereka ini mati di Mekah atau Madinah dan dikebumikan di sana. Terlalu banyak kelebihan yang bakal mereka dapati jika meninggal dan dikebumikan di Tanah Suci.

Oleh kerana itu, jemaah umrah yang uzur sepatutnya menjadikan kesempatan berada di Tanah Suci sebagai peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah. Memang betul, mati itu tidak mengenal sihat atau sakit. Tetapi secara logiknya, sudah tentu orang yang sakit lebih cenderung untuk mengingati mati berbanding dengan orang yang sihat.

Gunakan setiap inci masa yang diberi untuk memperbanyakkan amalan ibadah, istighfar dan juga doa kepada Allah. Semoga dengan penyakit yang dihidapi atau kesakitan yang dirasai menjadikan amalan lebih khusyu’, istighfar lebih mujarab dan doa lebih makbul di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman :

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

[Surah An-Nur ayat 31]

03/02/2023

DERAF BAB 12.

Bagi jemaah umrah yang uzur atau kurang sihat, mereka boleh membawa sendiri kerusi roda dari Malaysia menuju ke Tanah Suci. Biasanya kerusi roda ini akan dimasukkan ke dalam kargo sebelum penerbangan.

Dari kaunter daftar masuk menuju ke balai berlepas p**a, para jemaah umrah boleh menggunakan perkhidmatan kerusi roda yang disediakan oleh pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Para petugas lapangan terbang yang akan turut membantu menolak kerusi roda jemaah umrah tersebut sehingga ke balai berlepas.

Cuma, ada kes-kes terpencil apabila tiba di lapangan terbang Jeddah atau Madinah, berlaku keciciran kerusi roda milik jemaah umrah. Bagasi yang lain tiba dengan selamat tetapi kerusi roda tidak dapat dikesan ke mana ia menghilang.

Untuk kes sebegini, jemaah umrah yang terlibat perlulah melaporkan kehilangan kerusi roda milik mereka kepada pejabat lapangan terbang. Biasanya ia akan ditemui semula dan pihak lapangan terbang akan menghubungi jemaah umrah tersebut.

Selain daripada membawa kerusi roda milik sendiri dari tanahair, jemaah umrah juga boleh membeli kerusi roda tersebut di mana-mana farmasi di sekitar Masjidil Haram atau Masjdi Nabawi. Harganya bergantung kepada jenis, saiz dan juga kualiti.

Ada jemaah umrah yang memilih cara yang kedua ini. Lebih menarik lagi, mereka mewakafkan semula kerusi roda itu kepada farmasi yang menjualnya untuk diuruskan bagi kegunaan jemaah umrah lain yang berhajat. Ia adalah pelaburan akhirat yang bijak kerana ia termasuk dalam kategori sedekah jariah.

Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

“Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh.

Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”

[Riwayat Muslim (1017)]

Sebenarnya, ramai jemaah umrah yang membeli kerusi roda untuk diwakafkan bagi kegunaan jemaah yang uzur dan sakit. Perkhidmatan wakaf sebegini biasanya ditawarkan oleh farmasi tempat menjual kerusi roda. Pewakaf hanya perlu membayar harga kerusi roda dengan niat wakaf dan selebihnya akan diuruskan dengan baik oleh pekerja farmasi.

Address

15-5-1, Ting 5, Jalan Semarak Api 1 Diamond Square, Off Jalan Gombak
Kuala Lumpur
53000

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Umrah Mudah Sungguh posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Videos

Share

Category

Nearby travel agencies


Other Travel Agencies in Kuala Lumpur

Show All